Kerajaan digesa pinda proses pengiktirafan kesatuan pekerja

Callistus
Callistus
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa kerajaan untuk meminda proses pengiktirafan kesatuan pekerja bagi memastikan tiada berlakunya penindasan terhadap golongan itu.

Penasihat Buruh Antarabangsanya, Callistus Antony D’Angelus berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana ada majikan menyalahgunakan sistem, terlibat dalam taktik penangguhan dan kempen antikesatuan untuk menggagalkan kesatuan sekerja.

Jelas beliau, proses mahkamah biasanya digunakan untuk mengheret tuntutan pengiktirafan kesatuan sekerja yang mana mahu melemahkan pekerja dan persatuan itu.

“Dengan sumber kewangan di pihak majikan, mereka mempunyai kelebihan besar untuk berjaya dalam usaha itu.

“Jadi aktiviti antikesatuan mesti dijadikan jenayah dan majikan yang terlibat mesti bertanggungjawab secara peribadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujar Callistus, undang-undang perlu dikuatkuasakan supaya pelanggaran hak asasi manusia yang dibuat oleh pegawai syarikat boleh dihentikan.

Tambah beliau, sekiranya tuntutan pengiktirafan kesatuan dibuat, maka satu proses pengesahan keahlian hendaklah dijalankan.

Katanya lagi, jika kesatuan sekerja mempunyai majoriti mudah, pekerja sebagai ahli, maka kesatuan itu hendaklah diberi pengiktirafan dari segi undang-undang dan perlu termaktub dalam perundangan bahawa proses itu tidak boleh mengambil masa lebih daripada 90 hari.

“Banyak juga syarikat yang berani menggalakkan pekerja untuk tidak menyertai kesatuan berkenaan dan menikmati faedah yang diperoleh oleh persatuan itu melalui perjuangan mereka.

“Undang-undang harus dipinda untuk menghalang ahli bukan kesatuan daripada menikmati faedah yang sama kerana ia merupakan salah satu bentuk pemusnahan persatuan,” ujarnya.

Pada masa sama, Callistus menyifatkan kesatuan sektor awam umpama itik tempang dan jika kerajaan benar-benar serius untuk memulihkan maruah pekerja, keadaan itu perlu diubah.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan penggunaan pekerja kontrak dan asing yang diamalkan oleh majikan untuk menghalang kesatuan itu harus dikawal dengan ketat.

“Penggunaan pekerja kontrak perlu dijadikan sebagai satu tindakan yang menyalahi undang-undang kecuali bagi situasi pekerjaan untuk tempoh tetap,” jelasnya.