Sahabat dalam susah dan senang

Penulis (tengah) bersama Zuraidah Omar dan Allahyarham Ahmad pada 18 Februari lalu.
Penulis (tengah) bersama Zuraidah Omar dan Allahyarham Ahmad pada 18 Februari lalu.
A
A
A

ALLAHYARHAM Datuk Ahmad A Talib terkenal dengan sifat ramah, juga senyuman dan senda guraunya. Beliau selalu memilih jalan tengah dan mengelak daripada kontroversi.

Saya sudah mengenal beliau puluhan tahun, sejak saya berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lagi. Apabila saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu pada bulan November 1992, hubungan kami semakin erat. Pada masa itu, kami sering keluar negara bersama membuat liputan lawatan Perdana Menteri.

Saya adalah mangsa pertama krisis antara Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) dan Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya meletakkan jawatan pada 14 Julai 1998.

Pada masa itu berlaku ‘pembersihan’ melibatkan pimpinan editorial di Utusan Melayu (saya), Berita Harian (Datuk Nazri Abdullah) dan TV3 (Yunus Said). Kami dianggap ‘orang Anwar’ dalam media.

Tulisan saya yang terakhir sebagai Ketua Pengarang di Utusan Melayu tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 19 Julai 1998. Pada 29 November 2001, Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang meninggal dunia.

Saya dihubungi Azman Anuar, pengelola ruangan rencana Utusan Malaysia, untuk menulis belasungkawa tentang Usman, mantan ketua saya di DBP. Tulisan itu tersiar pada 30 November. Itulah kali pertama setelah lebih tiga tahun saya berpeluang menulis semula untuk akhbar yang pernah saya pimpin.

Allahyarham Ahmad Talib sering mempelawa saya untuk menulis dalam akhbar New Straits Times (NST). Pada satu hari pada bulan Mac 2001, saya bertembung dengan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A Samad Ismail.

Saya pernah membuat adaptasi cerpen beliau berjudul Rumah Kedai Di Jalan Seladang yang tersiar dalam Dewan Sastera, September 1988 ke pentas teater. Saya sendiri mengarahkannya di bawah kumpulan Badan Budaya DBP pada tahun 1989.

Artikel Berkaitan:

Pak Samad bertanya apa yang saya buat ketika itu, saya memberitahu beliau saya berladang di Gambang, Pahang. Beliau bertanya apakah saya masih menulis. Saya memberitahunya bahawa tidak ada akhbar yang bersedia menyiarkan tulisan saya dengan stigma saya yang tebal sebagai ‘orang Anwar’.

Tidak lama selepas itu saya mendapat panggilan telefon daripada Datin Rose Ismail menawarkan saya menulis untuk NST. Saya menulis reviu buku Meniti Lautan Gelora, memoir mantan Pengarang Utusan Melayu bernama Said Zahari pada tahun 1960-an. Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 tahun di Singapura.

Selepas itu saya ditawarkan menulis dalam kolum Weekend Guest oleh NST. Pada bulan November 2002, saya diberikan kolum tetap setiap Sabtu di NST dengan label Point Blank. Selama 13 tahun, dari November 2002 hingga Oktober 2015, saya menulis kolum itu setiap minggu.

Apabila saya menjadi Pengerusi Media Prima Berhad (MPB) pada tahun 2009, saya meyakinkan syarikat untuk melantik Allahyarham Ahmad sebagai Pengarah Eksekutif Berita bagi rangkaian TV MPB dan NSTP. Beliau juga dilantik salah seorang ahli Lembaga Pengarah MPB.

Beliau ternyata aset yang penting bagi kami. Beliau bergerak dengan mudah pada semua peringkat. Beliau disenangi oleh semua. Apabila beliau meninggalkan MPB pada tahun 2014, kehilangan beliau amat dirasakan.

Pada satu ketika sewaktu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) menjadi Perdana Menteri, hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia amat tegang.

Puncanya ialah kes Ambalat, rangkaian pulau berbatu di luar Borneo dan isu Nirmala Bonat, pembantu rumah yang dikatakan diseksa oleh majikannya. Sebahagian media Indonesia turut memainkan peranan mengapi-apikan sentimen kebencian terhadap Malaysia.

Saya bersama-sama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Timbalan Menteri Penerangan ketika itu dihantar ke Jakarta untuk menemui pemilik dan pimpinan media di sana.

Akibat pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia atau ISWAMI. Saya merupakan Pengerusi ISWAMI yang pertama.

Apabila saya menjadi Pengerusi MPB pada tahun 2009, Allahyarham mengambil alih jawatan itu daripada saya. ISWAMI masih wujud dan menjadi jambatan hubungan media kedua-dua negara.

MemancingAllahyarham juga aktif dalam pelbagai kegiatan lain. Minat memancing beliau diketahui umum. Demikian juga pembabitan beliau dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Allahyarham juga terlibat dalam seminar Membasmi Kemiskinan Bandar anjuran Kementerian Wilayah Persekutan pada bulan Disember tahun lalu. Beliau juga dilantik mengetuai satu pasukan untuk mempromosi Kuala Lumpur sebagai Kota Buku UNESCO 2020 oleh mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Pada bulan Februari tahun ini, saya dan enam orang mantan wartawan Utusan Melayu telah menjelajah ke lapan buah kota di Pulau Jawa.

Sekembalinya saya daripada lawatan itu pada 17 Februari, keesokan harinya saya bersama Allahyarham Ahmad dan Zuraidah Omar telah mengendalikan satu bengkel di sebuah kementerian. Allahyarham tidak menampakkan sebarang tanda tidak sihat.

Pada 10 April saya menerima mesej melalui WhatsApp daripada Allahyarham. Mesejnya ringkas bahawa beliau kurang sihat akibat sakit pada bahagian perut. Secara berjenaka beliau berkata, “Alhamdulillah, saya boleh beri jaminan, ini bukan jangkitan Covid-19.”

Pada 26 April, saya mendapat panggilan telefon daripada beliau. Beliau sudah dimasukkan ke sebuah hospital swasta. Beliau memberitahu saya bahawa doktor mengesahkan beliau menghidap kanser hati.

Saya tentunya terkejut dengan berita itu. Beliau memberitahu bahawa saya adalah orang pertama di luar keluarga terdekatnya yang diberitahu tentang keadaan itu.

Kami berbual lama di telefon, bercakap tentang kisah silam dan tentang sesi teh tarik pagi Ahad di Masjid India. Sesi teh tarik itu dimulakan oleh Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) sejak 25 tahun yang lalu.

Ia menghimpunkan teman-teman mantan wartawan Utusan Melayu, namun demikian, Allahyarham dan Datuk Seri Azman Ujang (mantan Pengerusi Bernama) adalah antara ‘tetamu’ yang kerap hadir.

Kami juga bercakap tentang susah senang kami yang pernah ‘terbuang’ dan ‘terpinggir’. Kami sudah merasai pahit getir dunia kewartawanan. Dan saya tahu saya boleh bergantung pada beliau dalam susah dan senang.

Keadaan beliau semakin meruncing. Pada 6 Mei, beliau menghantar foto beliau yang sedang menikmati minuman di bilik hospitalnya.

Beliau mengingatkan saya agar memaklumkan kepada Datuk Seri Amrin Awaluddin, mantan Pengarah Urusan Kumpulan MPB mengenai keadaannya. Mesej beliau yang terakhir adalah pada 19 Mei.

Apabila saya bertanya keadaannya, beliau menjawab: “Hanging and fighting” (bertahan dan melawan). Selepas itu mesej saya hanya dijawab oleh anak perempuan beliau, Sophia yang pernah berkhidmat di Utusan Melayu sebagai wartawan sebelum ke Berita Harian.

Pada petang Selasa 26 Mei, Allahyarham Ahmad menghembuskan nafas terakhir. Saya kehilangan seorang teman, negara kehilangan tokoh cemerlang dalam dunia kewartawanan.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan mantan Pengerusi Media Prima Berhad. Beliau pernah mengendalikan rancangan Bicara Minda untuk Sinar Harian. Kini beliau menjadi kolumnis akhbar The Star