Tiada jangkitan baharu Covid-19 daripada mesyuarat pasca kabinet

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada jangkitan baharu koronavirus (Covid-19) yang dikesan daripada mesyuarat pasca Kabinet pada 20 Mei lalu selepas satu kes positif wabak itu dikesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid yang disahkan positif wabak berkenaan sebelum ini menunjukkan perkembangan baik selepas menjalani rawatan.

"Semua peserta atau anggota (mesyuarat) pasca Kabinet didapati negatif. Jadi tidak ada kes-kes lain dikesan. Individu yang dikenal pasti juga sedang dirawat. Beliau diasingkan dan menunjukkan tindak balas yang baik, asimptomatik (tidak menunjukkan gejala) tetapi positif (virus berkenaan).

“Simptom-simptom yang dikesan juga sangat lemah kerana pesakit tidak demam, tidak batuk dan tidak mengalami selesema cuma mengalami kepenatan dan kini berada dalam keadaan baik " katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu,Dr Noor Hisham berkata, perintah kuarantin wajib selama 14 hari kepada mereka yang hadir mesyuarat itu tetap diteruskan kerana ia merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang terdedah kepada pesakit yang dikesan positif Covid-19.

Mengulas mengenai penularan wabak Covid-19 di pusat tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI), Dr Noor Hisham berkata, puncanya masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan di ketiga-tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Sepang dan Semenyih.

Katanya, walaupun mempunyai beberapa teori berhubung penularan wabak berkenaan namun pihaknya masih belum dapat memastikan punca sebenar ia merebak dalam kalangan PATI.

“Bagaimanapun apa yang lebih penting kita telah mengasingkan mereka di pusat kuarantin di Maeps Serdang dan mereka yang mempunyai hubung rapat dengan pesakit juga diasingkan untuk dikuarantin.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan menjadikan perkara ini sebagai satu pengalaman untuk mencegah daripada terus berlaku di depot tahanan yang lain termasuk di kawasan-kawasan penempatan yang sesak.

“Selain itu, kita juga perlu melihat kepada tempat kediaman mereka kerana bukan sahaja Covid-19 malah penyakit-penyakit berjangkit yang lain seperti Tibi juga akan cepat merebak sekiranya berada di dalam kawasan yang sesak, maka kita perlu mengenal pasti langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk menanganinya,” katanya.