NGO Indonesia sambut baik usaha hantar pulang PATI

Keratan berita PATI negatif Covid-19 dihantar pulang segera.
Keratan berita PATI negatif Covid-19 dihantar pulang segera.
A
A
A

SHAH ALAM - Aliansi Organisasi Masyarakat Indonesia (AOMI) menyambut baik langkah kerajaan Malaysia yang berhasrat menghantar pulang warga Indonesia tanpa dokumen sah di Depot Tahanan Imigresen ke negara asal.

Pengerusi AOMI, Hardjito Warno berkata, langkah tersebut difahamkan akan membabitkan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disahkan negatif koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, kerjasama antara kerajaan di kedua-dua negara amat penting bagi memastikan proses penghantaran pulang itu dapat dilaksanakan sebaik mungkin dalam situasi pandemik ketika ini.

“Ini perlu kerjasama dengan pemerintah kerajaan Indonesia kerana di Indonesia juga sedang dilakukan perintah kawalan pergerakan.

ARTIKEL BERKAITAN: PATI negatif Covid-19 dihantar pulang segera

“Koordinasi yang cermat dan baik amat penting agar mereka yang dihantar pulang nanti dapat dilayani dengan cepat dan dibantu kepulangannya.

“Dari segi layanan di Depot Imigresen Malaysia, kami berharap agar tahanan diperlakukan dengan baik dari segi makanan dan kemanusiaan terutama dalam suasana Aidilfitri ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan bahawa kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha menghantar pulang semua PATI di pusat tahanan Imigresen yang disahkan tidak dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan penularan wabak itu di kalangan warga asing yang ditahan di tiga pusat tahanan Imigresen iaitu Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Semenyih dan Depot Imigresen KLIA.

"Kita minta Kementerian Luar bincang dengan rakan sejawat dan kedutaaan (negara terlibat) untuk bantu bawa pulang rakyat mereka yang didapati negatif," katanya.