Pemandu mabuk: Pas cadang tubuh Jawatankuasa Khas Kabinet

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mencadangkan kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baharu diambil bagi menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, dalam tempoh penggantungan tersebut, kerajaan Perikatan Nasional perlu menubuh Jawatankuasa Khas Kabinet melibatkan beberapa kementerian dalam menangani kes berkenaan.

Menurutnya, Pas meminta Jabatan Kastam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantung semua lesen penjualan arak dan minuman beralkohol secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka 24 jam.

"Pas memandang serius kes kemalangan mabuk membabitkan pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini.

"Nyawa orang awam adalah satu keutamaan kerana hal ini telah menjadi satu lagi punca pertambahan kemalangan khasnya kemalangan maut di jalan raya atau di lebuh raya.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meletakkan Malaysia di tempat ke-10 di dalam senarai pengambilan alkohol terbanyak dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mangsa harap suspek dihukum sewajarnya

Kamaruzaman berkata, statistik yang dikeluarkan WHO menunjukkan rakyat negara ini membelanjakan lebih daripada RM2 bilion untuk minuman beralkohol dengan purata 15 liter per kapita pada tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengambilan minuman keras itu berada pada tahap membimbangkan.

"Tragedi pemandu mabuk bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh.

"Kesalahan ini berpunca daripada kelemahan perundangan sedia ada dan penguatkuasaan selain daripada sikap pentingkan diri dan degil pemabuk.

"Lebih malang menjadi seorang pembunuh bila mana telah menggadaikan jiwa yang tidak bersalah," katanya.