Pertuduhan politik: Pas cadang wujud Konsensus Nasional

Dr Mohd Zuhdi
Dr Mohd Zuhdi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin Pas mencadangkan agar Konsensus Nasional dicapai dalam kalangan parti-parti politik untuk melihat secara menyeluruh persoalan berkaitan pertuduhan politik.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, konsensus itu merangkumi perkara berkaitan dengan pengampunan dan penarikan balik pertuduhan.

Ujarnya, sudah sampai masanya semua parti politik terutamanya sedang berkuasa berhenti membuat pertuduhan politik bermotifkan menumbangkan lawan secara membina persepsi tidak benar dan membunuh karakter seseorang.

“Bukalah lembaran baharu politik dengan berpolitik secara matang dan sejahtera.

“Pada ketika yang sama, melalui Konsensus Nasional nanti, carilah jalan terbaik untuk memulakan agenda pencegahan menyeluruh bagi memastikan politik Malaysia berintegriti serta bebas rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharudin Muhammad dalam rakaman video dikongsi dalam laman Facebook Datuk Seri Najib Razak, bahawa langkah pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri itu lebih baik berbanding mengekalkannya dalam penjara sehingga tempoh hukuman berakhir.

Zaharudin antara lain dilapor berkata, yang lebih dekat dengan keadilan dan Islam apabila tersalah melepaskan orang bersalah, yang lebih baik berbanding tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah kes SRC International ditolak Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Zuhdi berpandangan kes SRC itu bukan satu-satunya pertuduhan politik yang berlaku, sebaliknya ia turut membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Yayasan Akal Budi, dana Jana Wibawa, Pandora Paper dan seumpamanya.

Menurutnya, semua kes itu mungkin boleh disabitkan di mahkamah, namun tidak menafikan motif awal pendakwaan pertuduhan politik, bertujuan menumbangkan lawan politik yang turut dihukum secara maya sebelum mahkamah membuat keputusan.

"Seandainya Najib tidak didapati bersalah dalam kes SRC sebelum ini, saya yakin akan ada tanggapan mahkamah di Malaysia tidak boleh dipercayai dan seumpamanya.

"Dalam mengemuka saranan ini, saya sama sekali tidak berkompromi dengan persoalan integriti dan pembasmian rasuah, namun usaha untuk mendukung integriti dan membasmi rasuah tidak dapat dilunaskan dengan pendakwaan politik.

"Ia dapat dilunaskan melalui agenda yang bersifat mencegah seperti menggubal Akta Kawalan Dana Politik, mekanisme pengisytiharan harta anggota pentadbiran yang tepat, membebaskan agensi penguatkuasaan serta sistem perundangan daripada cengkaman eksekutif, mewujudkan institusi hisbah/mazalim dan lain-lain," katanya.

Ujarnya, pertuduhan politik tidak dapat menyelesaikan masalah integriti dalam berpolitik dan politik wang.