Backbencher perlu sertai jawatankuasa khas, perkasa Parlimen

Kelvin (dua dari kanan) ketika sesi meja bulat ‘Mendalami Demokrasi di Malaysia: Memperkasa Parlimen’ di bangunan Parlimen pada Rabu.
Kelvin (dua dari kanan) ketika sesi meja bulat ‘Mendalami Demokrasi di Malaysia: Memperkasa Parlimen’ di bangunan Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan eksekutif (backbencher) disaran menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas sebagai usaha memperkasakan peranan Parlimen serta tanggungjawab ahli-ahlinya.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, sudah tiba masanya peranan setiap ahli Parlimen diperincikan dengan penyertaan dalam setiap dasar dan pengurusan negara.

“Satu perkara yang penting untuk memperkasakan peranan Parlimen dan ahlinya adalah membolehkan lebih ramai ahli Parlimen turut serta dalam jawatankuasa itu untuk beri input kepada polisi serta dasar, bukan sahaja dari kerajaan malah (dasar) yang akan dibentangkan kelak.

“Kita tidak mahu Parlimen menjadi tempat ‘rubber stamp’ yang mana pihak Eksekutif membentangkan dasar dan ahli Parlimen bahas dan lulus, tetapi mahu proses itu lebih bebas, terperinci menerusi perbincangan dalam jawatankuasa berkenaan,” katanya pada persidangan meja bulat ‘Mendalami Demokrasi di Malaysia: Memperkasa Parlimen’ pada Rabu.

Dalam pada itu, Kelvin yang juga Penasihat Kesihatan kepada Menteri Kesihatan menjelaskan, peranan Parlimen amat penting bagi memastikan semua pandangan serta cadangan semua ahli Parlimen tidak mengira parti politik diambil kira.

Beliau berkata, libat urus semua ahli Parlimen untuk mendapatkan mandat dan sokongan terutamanya membabitkan dasar negara amat penting dalam kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Bagi saya ia penting kerana ahli Parlimen adalah pembuat dasar, maka dasar tersebut perlu melalui satu proses terperinci. Dengan penyertaan mereka, proses demokrasi dan pembuatan dasar boleh berkembang dengan lebih matang.

“Walaupun backbencher bukan sebahagian daripada Eksekutif, tidak bermakna mereka tiada peranan dalam menentukan dasar negara. Jawatankuasa berkenaan adalah platform terbaik untuk mereka dan pembangkang bersama-sama menentukan serta menambah baik dasar terlibat,” ujarnya.

Persidangan meja bulat ‘Mendalami Demokrasi di Malaysia’ anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Kofi Annan Foundation dan Global Bersih itu menghimpunkan ahli politik kerajaan, pembangkang, pakar dari dalam dan luar negara berlangsung selama dua hari bermula Selasa di bangunan Parlimen.