Babi ‘besor’ masuk perangkap

Babi bersaiz besar memasuki perangkap dipasang.
Babi bersaiz besar memasuki perangkap dipasang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hanya menggunakan umpan kulit nangka, seorang pemuda berjaya menarik perhatian dua ekor babi bersaiz besar masuk ke dalam perangkap yang dipasang di belakang rumahnya, di Kampung Bukit Tumbuh, Kuala Nerus, semalam.

Tangkapan dua ekor babi jantan yang dianggap paling agresif oleh Kimi Hari, 24, itu mampu membuatkan penduduk menarik nafas lega kerana haiwan liar itu didakwa sering mengganggu ternakan ayam kampung.

Kimi berkata, penduduk sudah lama hidup dalam kerisauan berikutan terdapat banyak babi di kawasan kampung itu dan hampir setiap malam ternakan ayam kampung penduduk hilang dipercayai dimakannya.

“Malah saya sendiri sudah kehilangan 30 ekor ayam kampung kerana dibaham haiwan liar ini yang berkeliaran di kawasan rumah. Haiwan ini memang terlalu banyak berkeliaran di kawasan kampung tak kira siang atau malam.

“Paling membimbangkan kami, kadang-kala haiwan ini bertindak agresif dan berpotensi menyerang penduduk. Situasi inilah mendorong saya memasang perangkap di kawasan rumah dan sejak akhir Disember tahun lalu sehingga hari ini, saya berjaya menangkap tujuh ekor babi,” katanya.

Menurut Kimi, babi yang ditangkap itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah untuk diuruskan.

Jelas Kimi lagi, pihak berkuasa juga ada menjalankan operasi menangkap babi yang bermula sejak Disember lalu di sekitar kawasan Dun Bukit Tunggal.

“Saya dimaklumkan lebih 30 ekor babi sudah ditangkap dan keprihatinan pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah itu harus dipuji kerana masalah berkaitan ancaman haiwan liar itu sudah lama berlarutan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Artikel Berkaitan: