Kerisauan ayah selepas raya

A
A
A

SELEPAS Ramadan dan Aidilfitri 2020, apakah yang akan membuat saya sangat risau? Sebagai seorang ayah dan guru, saya lebih risau tentang masa depan pendidikan anak-anak kita.

Saya telah mengikuti beberapa forum live di media sosial tentang pendidikan kita yang terdiri daripada profesor pendidikan tempatan. Cara mereka mendiagnosis masalah pendidikan negara kita menunjukkan kualiti ramai status profesor yang merisaukan. Jelas, mereka gagal menilai masalah dari perspektif al-Quran walaupun dalam bulan Ramadan!

Apakah yang saya maksudkan? Bayangkan Awang adalah seorang yang sejak kecil duduk di rumah kayu di sebuah kampung yang jauh dari bandar. Maka satu hari selepas lama kumpul duit, Awang berhajat memberi kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.

Maka, Awang pun masuk ke showroom yang menunjukkan replika rumah contoh. Awang mengambil keputusan untuk membeli rumah batu di bandar. Setelah rumah siap di bina, dia pun membawa keluarga untuk berhijrah ke bandar dan duduk di rumah barunya ini.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, Awang yang ingin memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarganya pun membeli perabot-perabot rumah, TV, komputer, wifi dan segala jenis kelengkapan terkini untuk rumah barunya. Tiada satu ahli keluarganya pun yang tidak setuju dengan pelan Awang kerana Awang adalah ketua keluarga mereka. Mestilah Awang tahu segala-galanya.

Apakah masalah Awang? Masalahnya terletak pada diagnosis Awang. Awang memang mempunyai niat yang baik iaitu memberi kehidupan yang lebih baik untuk keluarganya.

Masalahnya ialah diagnosis Awang adalah dibataskan oleh pengalaman peribadinya. Awang pernah hidup di rumah kayu, maka dia pun fikir kehidupan yang lebih baik ialah rumah batu.

Awang pernah hidup di kampung, maka dia pun fikir kehidupan yang lebih baik ialah di bandar. Awang pernah hidup tanpa wifi, maka kehidupan yang lebih baik ialah pasang wifi!

Artikel Berkaitan:

Diagnosis Awang tentang konsep ‘yang lebih baik’ adalah relatif, terbatas dan ditakrifkan oleh pengalaman budayanya. Dengan kata lain, keputusan tentang apa yang baik buruk, adalah di takrifkan oleh ‘paradigma’ Awang iaitu pengalaman hidupnya. Penyelidikan tidak bebas paradigma dan nilai.

Paradigma

Para profesor pendidikan kita juga adalah tertakluk kepada paradigma tertentu juga. Diagnosis mereka tentang masalah pendidikan tidak ilmiah sepenuhnya kerana ia adalah terbatas oleh paradigma iaitu pengalaman akademik mereka.

Bagi keluarga yang sama paradigma dengan keluarga Awang, maka mereka akan anggap Awang ini bijak. Tapi bagi keluarga yang berbeza paradigma, mereka mungkin anggap Awang sungguh naif. Demikian juga status profesor yang relatif kepada satu paradigma tertentu.

Seorang yang berstatus profesor dalam satu universiti mungkin hanya akan dianggap sebagai seorang guru tadika sahaja di universiti lain yang berlainan paradigma! Bulan Ramadan mengajar kita satu perkara yang utama: Ia mengajak kita mengubah paradigma dari kehidupan biasa kepada kehidupan luar biasa selama sebulan. Paradigma makan, tidur, rehat tidak seperti biasa lagi.

Sejauh manakah paradigma Ramadan mendidik kita menghayati tentang kelaparan orang miskin, tentang nilai segelas air kosong, tentang makna kesabaran? Pendidikan Ramadan mengajak kita mengubah paradigma. Apa saja paradigma kita, ia perlu dinilai berdasarkan al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan.

Mampukah profesor kita mengubah paradigma? Bayangkan satu hari nanti, ibu bapa tidak lagi tanya tentang mana satu universiti yang lebih baik, tetapi mereka akan tanya mana guru yang lebih baik dan apa namanya!

Hanya al-Quran sahaja yang benar-benar bebas daripada prejudis mana-mana paradigma. Kalau Ramadan mengajar kita menghargai nilai air kosong, kita patut sekarang merasai kedahsyatan mukjizat al-Quran sebagai senjata perubahan nombor satu paling power di dunia!

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak