'Risau, susah hati bila dengar kediaman anak ditawan'

Samsiah (kanan) bersama suaminya, Sahar ketika ditemubual pada Jumaat
Samsiah (kanan) bersama suaminya, Sahar ketika ditemubual pada Jumaat
A
A
A

SEPANG - 'Saya sangat risau, susah hati bila dengar berita kediaman perumahan anak saya di Sudan telah ditawan," luah ibu mangsa yang terperangkap dalam konflik negara berkenaan.

Ibu kepada salah seorang rakyat Malaysia yang terperangkap di Sudan, Samsiah Taib, 64, berkata, dia dan suaminya, Sahar Misron, 65, tidak dapat tidur lena kerana bimbang memikirkan keadaan anak mereka di negara tersebut.

"Kita risau sebab dia ada dua orang anak yang berumur sembilam tahun dan empat tahun, kedua-duanya perempuan.

"Dan saya lebih sedih lagi memikirkan keadaan menantu saya yang sedang mengandung ketika itu," katanya kepada Sinar Harian ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa seramai tiga puluh rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dari Khartoum, ibu negara Sudan, negara yang dilanda konflik itu dijangka tiba di tanah air pada hari ini.

Menurutnya, mereka terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar.

Beliau berkata, mereka adalah antara 194 rakyat pelbagai negara yang selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal pada kira-kira 1.54 pagi waktu Malaysia hari ini, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha setelah menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.

Dalam pada itu, ujar Samsiah yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu, mereka sentiasa berhubung bagi mendapatkan perkembangan semasa mengenai keberadaan anak mereka.

Menurutnya, dia tidak dapat membayangkan keadaan anak mereka terpaksa menempuhi perjalanan untuk keluar dari Sudan yang memakan masa selama lebih 40 jam itu.

"Bila dah dapat berita yang mereka akan dibawa balik, kita rasa lega sedikit.

"Mengenangkan perjalanan mereka yang ambil masa lebih 40 jam itu, cuba kita bayangkan dalam keadaan kita yang sihat ini?

"Sepatutnya dia dan menantu memang nak balik ke sini sebab nak bersalin di sini tetapi tak sempat, kita pun macam tidak tahu nak kata apa bila dapat tahu berita itu, kita tinggal tawakkal saja," jelasnya.