X

Kindly register in order to view this article
!

Majlis perkahwinan di rumah ibadat tidak dibenarkan

Ismail Sabri
A
A

PUTRAJAYA - Kebenaran semua rumah ibadat agama lain untuk kembali beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebenarnya tidak termasuk aktiviti perkahwinan dan upacara kematian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sedia maklum mengenai berita penularan video perkahwinan yang dilangsungkan di sebuah kuil di Serdang Raya, Serdang pada 24 Mei lalu dan menegaskan ia masih dalam siasatan polis.

Menurutnya, kebenaran untuk rumah ibadat agama lain kembali beroperasi telah pun dikeluarkan dan dibenarkan kerajaan, tetapi berkuat kuasa pada 10 Jun hadapan.

"Jadi belum sampai masa kebenaran beribadah dilakukan mana-mana penganut rumah ibadat agama lain yang sebenarnya merangkumi pematuhan prosedur standard operasi (SOP) ketat seperti tidak boleh lebih tiga orang menjalani upacara ibadat.

"Kita sudah maklum kepada semua pengelola pusat ibadat yang dibenarkan hanya aktiviti keagamaan di hari penting, seperti agama Kristian, hari penting adalah hari Ahad untuk mereka menjalankan aktiviti beragama. Begitu juga agama lain masing-masing mempunyai hari penting tertentu untuk beribadat.

"Kita sudah memberi kebenaran beribadat, tetapi tidak membenarkan lagi upacara perkahwinan di rumah ibadat mereka selain tidak boleh mengadakan upacara kematian," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan polis sedang menyiasat dakwaan satu majlis perkahwinan dilangsungkan di sebuah kuil di Serdang Raya di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima dua laporan mengenai video terbabit.

Menurutnya, polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 41 tahun pada jam 12.04 tengah malam tadi selepas individu itu dimaklumkan gambar peribadinya telah diviralkan di dalam beberapa 'group' WhatsApp.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan ketetapan SOP ketat pembukaan kembali rumah ibadat agama lain, beliau percaya penganjuran sebarang majlis perkahwinan sebagaimana berlaku di Serdang adalah melanggar undang-undang.

"Saya difahamkan pihak polis sedang mengambil tindakan kepada penganjur majlis perkahwinan itu termasuklah pengelola pusat ibadat berkenaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!