Covid-19: Rakyat Perlis main peranan kekalkan status zon hijau

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Rakyat Perlis disaran memainkan peranan penting bagi memastikan negeri tersebut kekal sebagai zon hijau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di Facebooknya berkata, hanya Perlis satu-satunya negeri yang masih kekal sebagai zon hijau bagi tempoh lebih 28 hari.

"Perkasakan masyarakat dan komuniti setempat (untuk) bebas dari Covid-19," katanya.

Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat CPRC Kebangsaan yang bertarikh 21 April lalu menunjukkan negeri itu bebas dari kes aktif sepenuhnya.

Sebanyak 18 kes positif Covid-19 direkodkan di negeri tersebut.

Selain Perlis, Kelantan dan Kedah turut diletakkan di bawah zon hijau selepas tiada kes aktif pada penghujung April.

Bagaimanapun, kedua-dua negeri terbabit bertukar status menjadi zon kuning selepas masing-masing merekodkan satu kes positif baharu kelmarin.

Ia membabitkan seorang wabita hamil 35 minggu yang pulang ke kampungnya di Sungai Durian Kuala Krai bagi melahirkan anak keduanya.

Artikel Berkaitan:

Dia kemudiannya disahkan positif Covid-19 ketika pemeriksaan rutin di Klinik Ibu dan Anak.

Di Kedah pula, seorang pelajar universiti yang sedang dikuarantin untuk dibawa pulang ke Sabah dan Sarawak disahkan positif Covid-19.

Punca jangkitan kedua-dua kes masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum ini, Dr Noor Hisham menyeru orang ramai agar melindungi zon hijau daripada dijangkiti pandemik itu.