Kluster depoh tahanan antara 50 kes Covid-19 baharu

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 34 warga asing di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil antara 50 kes baharu positif Covid-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama di depoh tahanan itu mula dikesan semalam menjadikannya sebagai kluster baharu.

"Saringan telah dilakukan terhadap 645 tahanan di Blok A dan mendapati 35 positif Covid-19, 400 negatif dan 210 masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, saringan dilakukan KKM terhadap tahanan tersebut setelah mendapat maklumat daripada International Health Regulations Committee bahawa ada tahanan yang telah dihantar pulang dari Malaysia disahkan positif.

"Justeru kita melakukan saringan terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata, kesemua kes positif di depoh tersebut melibatkan 17 warga Myanmar, 15 India dan Sri Lanka, Bangladesh serta Mesir masing-masing satu kes.

"Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, punca jangkitan masih dalam siasatan pihaknya.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya mereka ditahan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

"Jadi kita masih menyiasat bagaimana ia boleh berlaku... Mungkin daripada pekerja atau dapur," katanya.

Menurutnya, pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di negara ini ialah 7,059 kes dengan jumlah aktif sebanyak 1,149.

"Sehingga kini, terdapat 10 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tujuh daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, kes kematian berkaitan Covid-19 kekal 114 manakala seramai 90 peskait Covid-19 telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya ialah sebanyak 5,796 kes bersamaan 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Justeru, bilangan kes pulih adalah hampir dua kali ganda kes baharu yang dilaporkan," katanya.