X

Kindly register in order to view this article
!

Empat kontak rapat dikuarantin susulan kes baharu di Kedah

Statistik terkini kes Covid-19 di Kedah.
A
A

ALOR SETAR - Satu kes baharu di Kedah yang direkodkan selepas 28 hari negeri itu bebas koronavirus (Covid-19) sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, susulan itu, empat lagi kontak rapat kepada mangsa yang juga pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) kini ditempatkan di Institut Aminuddin Baki untuk dikuarantin selama 14 hari.

Menurutnya, hanya seorang pelajar disahkan positif selepas melakukan saringan terhadap 287 pelajar UUM yang bakal dihantar pulang ke Sabah dan Sarawak.

“Kita masih lakukan siasatan pergerakan mangsa, maklumat awal mendapati pelajar berkenaan sentiasa berada di asrama seperti disarankan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Dr Mohd Fikri berkata, daripada 287 pelajar yang disaring, satu kes dilakukan saringan semula.

Beliau turut menafikan kenyataan yang tular sejak kelmarin berhubung pergerakan mangsa terbaharu itu yang didakwa mengunjungi dua pasar raya terkemuka di Alor Setar.

Dr Mohd Fikri Ujang
Dr Mohd Fikri Ujang

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit tidak mengunjungi dua pasar raya berkenaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Maklumat yang tular kononnya diedarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKNK) adalah tidak benar, kami tidak mengeluarkan kenyataan tersebut,” katanya.

Menurutnya, dakwaan bahawa JKNK sedang dalam proses mengesan semua pelanggan yang datang membeli-belah di pasar raya berkenaan juga adalah palsu.

“Orang ramai dinasihatkan tidak panik susulan penyebaran maklumat tidak tepat itu. Elakkan mempercayai maklumat yang tidak sahih dan sentiasa rujuk kepada JKNK dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Dr Mohd Fikri mengingatkan pengunjung ke pasar raya agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan, selain mengamalkan penjarakan sosial, menggunakan cecair pencuci tangan serta pelitup muka, serta tidak membawa warga emas dan kanak-kanak bersama.

Pertambahan kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Kedah sebanyak 96 kes. Ia meragut status Kedah yang sebelum ini diisytiharkan zon hijau.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani dalam kenyataannya memaklumkan, sepanjang tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), UUM mengambil langkah efektif mengawal penularan Covid-19 seperti disarankan KKM.

“Antaranya, staf kategori penting sahaja dibenarkan masuk ke kampus, manakala 4,000 pelajar yang berada dalam kampus tidak dibenarkan keluar. Kita mematuhi semua arahan dan SOP dikeluarkan kerajaan, warga kampus termasuk pelajar juga sentiasa diingatkan tentang arahan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, semua staf diwajibkan mengisi Covid-19 Daily Self Assessment (CoDSA) setiap hari termasuk hari cuti untuk membolehkan pihak universiti mengambil tindakan segera sekiranya terdapat staf universiti yang terdedah kepada risiko wabak Covid-19.

“CoDSA adalah bagi mengenal pasti tahap kesihatan staf sebelum memasuki kampus. Malah UUM turut mengetatkan pemeriksaan dan merekod butiran orang keluar/masuk kampus, selain pemeriksaan rutin suhu badan di pintu masuk.

"Bagi staf yang mendapat kebenaran polis untuk merentas sempadan negeri, mereka melapor kepada Jabatan Pendaftar untuk pemantauan bagi mengelakkan warga kampus terdedah risiko,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus