Bekalan makanan mencukupi

Keupayaan kerajaan menjamin bekalan sekuriti makanan seperti beras mencukupi sepanjang tempoh PKP wajar diberi pujian.
Keupayaan kerajaan menjamin bekalan sekuriti makanan seperti beras mencukupi sepanjang tempoh PKP wajar diberi pujian.
A
A
A

PADA saat ini seluruh dunia berdepan dengan krisis kemanusiaan berganda iaitu pandemik koronavirus (Covid-19) yang menyaksikan hampir lima juta manusia dijangkiti penyakit tersebut dengan 319,031 kes kematian dicatatkan dan kemelesetan ekonomi global terburuk.

Ancaman Covid-19 turut menyebabkan negara di seluruh dunia melaksanakan sekatan pergerakan dan perniagaan rakyat. Senario itu menyebabkan rantaian pengeluaran dan bekalan terancam sehingga wujud tindakan mengekang eksport ke negara-negara pengimport termasuklah bekalan makanan.

Rakyat menjadi risau tentang kecukupan tahap bekalan makanan domestik. Senario kritikal itu membawa kepada persoalan, adakah bekalan sekuriti negara benar-benar mencukupi untuk satu tempoh yang panjang?

Pakar ekonomi daripada Akademi Sains Malaysia, Profesor Dr Madeline Berma berkata, Institut Penyelidikan Polisi Makanan Antarabangsa menyatakan masyarakat dunia tidak perlu bimbang isu ketidakcukupan sumber makanan harian semasa pandemik Covid-19.

Malah, portal Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) turut memberi jaminan bekalan makanan seperti beras, daging, ikan dan sayur-sayuran berada pada tahap yang stabil serta mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dari aspek ekonomi, bekalan sekuriti makanan negara ditampung pengeluaran domestik dan import. Namun, Malaysia menyaksikan tahap kebergantungan import bekalan makanan sangat tinggi.

“Bagaimanapun, Indikator Global Food Security Index 2018 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-40 daripada 113 negara dan berada pada tahap selamat bagi ketersediaan serta kebolehcapaian kestabilan bekalan makanan,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Madeline Berma
Madeline Berma

Di sebalik ketersediaan Malaysia, beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion sebagai Dana Jaminan Makanan.

Menurutnya, dana khas itu bagi tujuan kelangsungan rantaian bekalan makanan kepada rakyat supaya bekalan makanan sentiasa mencukupi dan berada pada tahap mampan sepanjang tempoh sukar ini.

“Suntikan dana pakej rangsangan ekonomi dalam kluster jaminan makanan yang diumumkan adalah strategi yang pintar dan tepat.

“Ia bakal meningkatkan penggandaan usaha dalam penghasilan sumber makanan domestik dan kelangsungan keselamatan makanan untuk berada pada tahap yang stabil,” katanya.

Inisiatif

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Negara, Profesor Madya Dr Shaufique Fahmi Ahmad Sidique berkata, bidang pertanian sebenarnya menyumbang sebanyak 7.1 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, separuh datangnya daripada produk pengeluaran agrofood, manakala separuh lagi melibatkan pengeluaran pertanian komoditi.

“Namun, sumbangan agrofood kepada KDNK adalah lebih besar daripada 3.55 peratus jika mengambil kira sumbangan input agrofood dalam industri hiliran seperti pemprosesan makanan dan sektor makanan serta minuman,” katanya.

Sehingga kini, jumlah nilai import sekuriti makanan negara mencecah sebanyak RM51.4 bilion. Bagaimanapun, nilai eksport makanan hanya berjumlah RM34 bilion menyebabkan berlaku defisit eksport makanan negara sekitar RM17.4 bilion.

Beliau berkata, terdapat desakan agar kerajaan menumpukan usaha menghasilkan produk pertanian secara komersial bagi mengurangkan kebergantungan import bekalan makanan dari luar negara, susulan krisis kesihatan dihadapi ketika ini.

Shaufique Fahmi
Shaufique Fahmi

Namun, katanya, beras perlu diimport kerana Malaysia mengeluarkan hanya 70 peratus daripada jumlah keperluan rakyat.

Menurutnya, pengeluaran daging negara juga rendah disebabkan pelbagai faktor seperti kurangnya penglibatan penternakan berskala besar, kos pengeluaran tinggi dan sebagainya.

“Ini termasuk makanan haiwan dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti kubis, bawang dan brokoli.

“Nilai import tinggi juga didorong atas faktor kos. Lebih murah bagi Malaysia mengimport sesetengah komoditi daripada menghasilkannya sendiri seperti jagung (grain corn), kubis dan bawang.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu menilai semula produk-produk makanan untuk dihasilkan sendiri,” katanya.

Dari sudut positif, beliau memuji inisiatif kerajaan susulan keupayaan agensi-agensi di bawah MOA bagi memastikan jaminan bekalan sekuriti makanan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 mencukupi.

Menurutnya, kerajaan turut terbukti lebih proaktif bagi memastikan hubungan perdagangan dengan negara-negara pengeksport utama makanan berjaya ditangani dan diperkasakan lebih awal.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Norsida Man pula mengiktiraf keampuhan kerajaan memastikan rantaian pengedaran bekalan makanan kepada pengguna di seluruh Malaysia berjalan lancar.

Norsida Man
Norsida Man

Pemantauan

Beliau turut memuji langkah kerajaan menerusi MOA dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Perdagangan (KPDNHEP) melakukan pemantauan harga barangan berterusan, selain memastikan tiada aktiviti menyembunyikan stok bekalan sepanjang PKP.

“KPDNHEP juga dibenar melaksanakan mekanisme sama untuk barang keperluan biasa termasuk produk kesihatan bagi mengawal kenaikan harga dan ia membuktikan komitmen kerajaan memastikan rakyat tidak terbeban.

“Langkah terkini Menteri Pertanian dan Industri Maka-nan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan jawatankuasa Kabinet untuk sekuriti makanan akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi merangka Dasar Sekuriti Makanan Negara juga adalah satu tindakan sangat tepat,” katanya.

Menurutnya, sudah tiba masa kerajaan bersiap siaga merangka pelan alternatif lebih komprehensif sekiranya krisis menyerupai Covid-19 berulang pada masa hadapan.

“Antaranya, melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) khas dalam aspek pengedaran bekalan makanan seperti penggunaan rantaian pembekalan secara digital sebagaimana dipraktikkan di negara-negara Eropah ketika ini,” katanya.

Norsida berpendapat, kerajaan perlu memberikan pendidikan yang betul kepada petani bagi menyokong inovasi dalam sektor pertanian yang memerlukan penggunaan teknologi dan keupayaan menangani perubahan iklim.

“Kerajaan perlu menawarkan insentif dan tawaran pendapatan lumayan kepada petani kerana pendapatan mereka ketika ini boleh dianggap cukup makan,” katanya.