Hampir RM1 juta bantu mangsa ribut Kampung Melayu Majidee

Mohd Hairi ( kiri) meninjau proses penyerahan bantuan kepada mangsa di Dewan Kampung Melayu Majidee pada Khamis.
Mohd Hairi ( kiri) meninjau proses penyerahan bantuan kepada mangsa di Dewan Kampung Melayu Majidee pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memperuntukkan hampir RM1 juta bagi memberikan bantuan kepada 255 keluarga di Kampung Melayu Majidee, di sini yang terjejas akibat ribut pada 3 Mei lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, setiap keluarga mendapat bantuan awal sebanyak RM3,000 yang disampaikan di Dewan Kampung Melayu Majidee hari ini.

Beliau berkata, bantuan wang tunai itu merupakan sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar Johor, Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

"Bantuan awal ini diberikan kepada semua mangsa terjejas tanpa mengira kategori kerosakan kediaman mereka, sama ada tahap sedikit, sederhana atau teruk,” katanya pada sidang media selepas meninjau proses penyerahan bantuan kepada mangsa di Dewan Kampung Melayu Majidee, di sini pada Khamis.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, bantuan bakul makanan turut diberikan kepada mangsa daripada Southern Volunteers dan Pejabat Parlimen Johor Bahru.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga masih membuat penilaian kerosakan rumah mangsa yang terlibat sebelum bantuan seterusnya diberikan.

"Selepas penilaian kerosakan rumah dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya akan memohon bantuan daripada mana-mana agensi berkaitan untuk membantu (menghulurkan sumbangan) rumah yang rosak teruk,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa ribut, Asmah Sakiran, 54, ketika ditemui meluahkan rasa kesyukuran atas pemberian bantuan awal itu.

Katanya, wang tersebut akan digunakan untuk membayar semula duit perkahwinan anaknya yang didahulukan bagi membaiki atap yang rosak akibat ribut.

"Mak cik baiki dulu atap rumah dengan anggaran kos RM2,000 menggunakan duit simpanan kahwin anak. Setiap petang hujan lebat, kalau tidak diganti cepat, barang rumah banyak yang akan rosak," katanya.

Selain menjejaskan rumah penduduk, kejadian ribut pada pukul 2.48 petang, 3 Mei lepas itu turut menyebabkan tiga kereta rosak akibat dihempap pokok tumbang. - Bernama