X

Kindly register in order to view this article
!

Kerusi ahli Parlimen 'cukup makan' bukti PN tidak stabil

Ahli-ahli Dewan Rakyat ketika mengikuti titah Diraja yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong (kanan) pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen semalam.
 - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jumlah 113 kerusi ahli Parlimen Perikatan Nasional yang duduk di kerusi kerajaan pada Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini membuktikan kedudukan kerajaan pakatan itu sebenarnya sangat rapuh dan tidak stabil.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia disebabkan jumlah kerusi dimiliki ahli Parlimen Perikatan Nasional itu juga sebenarnya hanya satu kerusi melebihi jumlah kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan dengan kerusi ahli Parlimen pembangkang kini diduduki seramai 107 orang, manakala dua ahli Parlimen duduk di kerusi bebas.

"Kalau kita lihat, alasan menangguhkan Sidang Parlimen selepas sesi Titah Diraja untuk mengurangkan risiko penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang diberikan sebelum ini, sebenarnya dilihat agak meragukan dengan rakyat sendiri menyedari ada sesuatu tidak kena dengan keputusan itu.

"Berdasarkan kedudukan terkini jumlah kerusi dimiliki ahli Parlimen Perikatan Nasional, maka terbuktilah keengganan kerajaan mengadakan Sidang Parlimen lebih sehari disebabkan kebimbangan usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi kesan negatif terhadap kerajaan baharu dibentuk.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambaikan tangan kepada pengamal media selepas selesai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bangunan Parlimen semalam. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambaikan tangan kepada pengamal media selepas selesai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bangunan Parlimen semalam. - Foto Bernama

"Senario terkini itu membuktikan kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya rapuh, tidak stabil dan mampu runtuh pada bila-bila masa," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Awang Azman berkata, senario terkini membabitkan jumlah kerusi ahli Parlimen menyokong Perikatan Nasional turut menunjukkan Muhyiddin memerlukan lebih masa untuk meraih lebih banyak sokongan ahli Parlimen bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan.

Menurutnya, Muhyiddin dipercayai masih kurang berkeyakinan kerajaan Perikatan Nasional masih mampu bertahan daripada ancaman usul undi tidak percaya kepimpinan beliau pada ketika ini, meskipun inisiatif agihan jawatan Kabinet, syarikat berkaitan kerajaan dan pegawai tertinggi kerajaan sudah dilaksanakan kepada parti-parti yang menyokong beliau.

"Senario terkini menyaksikan Muhyiddin masih perlu lebih banyak masa untuk memantapkan strategi supaya sebarang usaha melakukan undi tidak percaya oleh parti pembangkang dapat dipatahkan.

"Sekarang ini apa-apa sahaja boleh berlaku dan pada perkiraan saya, tekanan politik yang mungkin dihadapi kerajaan Perikatan Nasional bakal diperhebat oleh parti pembangkang sejurus isu Covid-19 semakin reda," katanya.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Mahathir pada 24 Februari lalu, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air menyaksikan kerajaan PH hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik.

Pada 8 Mei lalu, Dewan Rakyat menerima usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dibawa pada Sidang Parlimen ke-14 hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!