Terengganu tidak galak ziarah kubur

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Umat Islam di negeri ini tidak digalakkan menziarahi tanah perkuburan pada musim perayaan hingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku perhimpunan melibatkan jumlah ramai dalam satu-satu masa di sesebuah lokasi.

"Setakat ini, belum ada sebarang keputusan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu yang melarang lawatan atau kunjungan ke tanah perkuburan di negeri ini terutama pada musim perayaan.

"Namun kita melarang sebarang pertemuan atau perhimpunan diadakan di mana-mana lokasi termasuk tanah perkuburan kerana ia melanggar peraturan ditetapkan sepanjang PKPB," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya lawatan ke lokasi itu dilakukan ketika tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada wabak koronavirus (Covid-19).

"Dalam situasi sekarang, kita mohon kepada orang ramai supaya tidak memilih Hari Raya Aidilfitri untuk mengunjungi tanah perkuburan secara beramai-ramai. Tambahan pula keadaan sekarang masih belum benar-benar pulih sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Terengganu, Ahadi Othman berkata, berdasarkan hukum syarak, amalan ziarah kubur ialah sunat dan boleh dilakukan tanpa terikat pada waktu Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

"Ziarah kubur tiada kaitan dan tidak khusus pada hari raya sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Setiap masa kubur boleh diziarahi namun ziarah kubur dalam tempoh PKPB ini perlu mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan seperti menjaga penjarakan sosial (tiada berlaku perhimpunan beramai-ramai), penjagaan kebersihan dan sebagainya bagi mengelak berlakunya penularan Covid-19," katanya.