X

Kindly register in order to view this article
!

Dua ahli Parlimen antara 10 belum jalani ujian Covid-19

A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat dua ahli Parlimen yang belum menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) kerana sedang menjalani kuarantin selepas mempunyai kontak rapat dengan individu yang dijangkiti wabak tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua ahli Parlimen tersebut antara 10 individu yang belum menjalani ujian tersebut sebelum menghadiri Persidangan Dewan Rakyat esok.

"Setakat ini, kalau kita lihat jumlah yang telah dikenal pasti adalah 960 iaitu ahli Parlimen dan petugas Parlimen tetapi yang hadir untuk saringan dan ujian ialah 950 orang.

"Kita juga telah dapat keputusan untuk 948 orang (yang telah jalani saringan) iaitu negatif dan dua masih 'pending' dan kita akan dapat keputusan petang ini," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Hanya Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei ini

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhan, 960 yang telah dikenal pasti menyaksikan 950 daripada mereka adalah negatif manakala 10 tidak hadir melaksanakan saringan termasuk dua Ahli Parlimen tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini ahli Parlimen yang telah menjalani ujian saringan Covid-19 berikutan semua ahli Parlimen dan petugas Parlimen diwajibkan menjalani ujian tersebut sebelum menghadiri Persidangan Dewan Rakyat, Isnin ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Terdahulu, Persidangan Parlimen yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac sehingga 16 April diputuskan hanya diadakan selama sehari iaitu pada 18 Mei kerana mengambil kira ancaman wabak tersebut.

Persidangan esok juga tidak akan bersidang, sebaliknya hanya titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus