Covid-19: Ujian saringan kakitangan, ahli Parlimen negatif

Dr Noor Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ujian saringan wabak koronavirus (Covid-19) ke atas 750 individu termasuk 222 ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen didapati negatif setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun pihaknya masih perlu menunggu sekurang-kurangnya dua hari lagi untuk memaklumkan keputusan penuh.

"Kita telah melaksanakan ujian untuk semua ahli Parlimen dan semalam merupakan tarikh akhir (untuk menjalani saringan).

"Bukan sahaja ahli Parlimen tetapi juga warga kerja di Parlimen, jadi keseluruhan lebih 750 telah disaring dan diuji. Keputusan setakat ini tiada yang positif.

"Jadi kita masih melaksanakan untuk tempoh sehari dua lagi. Keputusan penuh ujian saringan dapat diketahui dalam tempoh 24 jam," katanya pada sidang media situasi semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini ahli Parlimen yang telah menjalani ujian saringan Covid-19.

Semua ahli Parlimen dan petugas Parlimen diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum menghadiri persidangan Dewan Rakyat Isnin ini bagi mengekang penularan wabak tersebut.

Terdahulu, persidangan Parlimen yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac sehingga 16 April diputuskan hanya diadakan selama sehari iaitu pada 18 Mei kerana mengambil kira ancaman wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Persidangan Isnin ini juga tidak akan bersidang, sebaliknya hanya titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.