Itu hak mereka: Speaker DUN Perak

Mohammad Zahir mengangkat sumpah jawatan sebagai Speaker DUN Perak di Dewan Negeri, semalam.
Mohammad Zahir mengangkat sumpah jawatan sebagai Speaker DUN Perak di Dewan Negeri, semalam.
A
A
A

IPOH - "Terpulang kepada mereka, itu hak masing-masing," demikian komen Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid sebagai respons kenyataan pemimpin pembangkang yang ingin mencabar kedudukan beliau di mahkamah.

Beliau berkata, pelantikan Speaker DUN Perak semalam telah dirujuk dan mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pejabat Peguam Negara.

Menurutnya, tidak timbul soal pelantikan tersebut tidak sah kerana ia dilaksanakan mengikut ketetapan Dewan.

"Saya ingin merakam penghargaan kepada Speaker DUN terdahulu, Datuk Ngeh Koo Ham atas sumbangan bakti sepanjang mengetuai Dewan Negeri Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Exco Perak dilantik Speaker DUN Perak

"Institusi Dewan Negeri Perak akan terus diperkasakan kerana ia merupakan badan penting dalam sistem Perlembagaan Negara," katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyarungkan jubah Speaker DUN Perak kepada Mohammad Zahir selepas dilantik semalam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyarungkan jubah Speaker DUN Perak kepada Mohammad Zahir selepas dilantik semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Perak, V Sivakumar semalam bahawa pelantikan tersebut tidak sah dan pembangkang akan mencabar kesahihan pelantikan itu di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammad Zahir yang merupakan Speaker DUN Perak termuda dalam sejarah pelantikan jawatan itu berkata, beliau akan melihat kembali sebarang keperluan untuk menambah baik Dewan Negeri Perak.

Katanya, sebarang perancangan dan pelaksanaan yang dilakukan sebelum ini akan diteruskan selain menambah baik sebarang kekurangan.

Beliau berkata, Dewan Negeri Perak perlu ada penambahbaikan kerana ia merupakan cabang penting dalam perundangan.

Mohamad Zahir, 52, memulakan karier sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) dan kemudian berkhidmat sebagai Perancang Korporat di MARA Holdings. Seterusnya bekerja di Abrar Corporation Bhd dan Universiti Technologi Petronas (UTP).

Beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting dari tahun 2008 sehingga 2018 dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Perak dari tahun 2009 hingga 2018.

Semalam, Mohammad Zahir dilantik sebagai Speaker DUN Perak selepas Koo Ham meletakkan jawatan ketika Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.