Biar Nur Farhana bertenang dulu

Ahmad Fahmi meminta orang ramai memberi ruang adiknya Nur Farhana bertenang.
A
A

KUALA KEDAH - Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Genting, Balik Pulau, Nur Farhana Ibrahim, 27, memerlukan masa untuk menenangkan diri selepas dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Abang sulungnya, Ahmad Fahmi, 45, berkata, adik perempuannya dibawa pulang suaminya, Muhammad Naim Mahayaddin, 29, ke kediaman mereka di Alor Senibong, Langgar, di sini, selepas ditemui selamat di Kuala Kangsar, Perak.

“Kalau diikutkan hati, kami memang nak tengok adik tapi kami ambil keputusan menunggu supaya emosinya stabil dahulu barulah jumpa dia.

“Lagipun, adik ipar ada meminta supaya adik diberikan masa untuk berehat dan menenangkan fikiran terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Sematang di sini, semalam.

Fahmi berkata, emosi Nur Farhana dilihat masih belum stabil sepenuhnya, apabila adik perempuannya itu adakala kelihatan ceria, kadang-kala agak diam.

Menurutnya, dia juga tidak jelas kejadian yang menimpa anak kelima dari enam beradik itu sepanjang kehilangannya, memandangkan polis memaklumkan adik perempuan tidak mengingatinya.

“Buat masa ini, saya akan biarkan dia bertenang dan berehat di rumah mereka bersama suami dan anak perempuannya dahulu. Saya tidak akan tanya dia dalam tempoh terdekat ini berhubung kejadian menimpanya kerana tidak mahu dia tertekan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Fahmi berkata, dia bersama dua lagi adik beradiknya berkampung di Pulau Pinang semenjak Nur Farhana dilaporkan hilang di Balik Pulau sejak 14 Januari lalu.

Fahmi berkata, bapa mereka, Ibrahim Abdullah, 71, yang lumpuh sejak 11 tahun lalu juga mengetahui berita tentang kehilangan Nur Farhana secara tiba-tiba itu.

Menurutnya, mereka berkemungkinan akan membawa adik perempuannya untuk menjalani rawatan perubatan Islam bagi memulihkan semula semangatnya selepas insiden itu.

“Tidak dinafikan, ada beberapa kali Nur Farhana menyuarakan keletihannya kerana perlu berulang alik dari Alor Setar ke Balik Pulau, tapi tak sangka sampai berlaku macam ini,” katanya.

Fahmi berkata, Nur Farhana ada menunjukkan perubahan menjadi lebih senyap dan tidak ceria berbanding kebiasaannya yang periang serta tidak mengetahui punca namun ia mungkin disebabkan bebanan ditanggungnya.

Sementara itu, rumah mentua Nur Farhana kosong dan tiada penghuni ketika tinjauan dilakukan dan difahamkan keluarga dan ustazah terbabit keluar sejak awal pagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang guru Pendidikan Islam SK Genting, dilaporkan hilang sejak 14 Januari sebelum ditemui selamat di Kuala Kangsar, Perak, kelmarin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu Nur Farhana ditemui selamat]

Nur Farhana yang mengalami simptom tekanan serius sejak beberapa tahun lepas dikhuatiri hilang apabila tidak hadir ke sekolah tempat dia bekerja sejak dua hari lepas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Guru hadapi tekanan dikhuatiri hilang]

Ketua Polis Kuala Kangsar, Asisten Komisioner, Razali Ibrahim mengesahkan guru Pendidikan Islam tersebut datang ke Balai Polis Kuala Kangsar seorang diri dengan berjalan kaki kira-kira jam 3.15 petang.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Sedar-sedar ada di Padang Rengas']