Guru hadapi tekanan dikhuatiri hilang

Usaha mencari mangsa dengan bantuan Unit K9 di sekitar sekolah tempat mangsa mengajar dan kawasan berdekatan.
A
A

BALIK PULAU - Seorang guru dikhuatiri hilang apabila tidak hadir ke sekolah tempatnya mengajar di sini, sejak dua hari lalu.

Nur Farhana Ibrahim, 27 merupakan guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Genting di sini disahkan mengalami simptom tekanan serius (reactive depression with marked anxiety symptoms) sejak beberapa tahun lalu.

Dia dipercayai mengalami tekanan apabila perlu berulang alik dari Alor Setar ke sekolahnya di sini setiap hari.

Menurut suaminya, Muhammad Naim Mahayadin, isterinya menangis sendirian ketika menidurkan anak tunggal mereka pada malam 13 Januari di rumah mereka di Alor Setar, Kedah.

"Saya ada tanya mengapa dia menangis, tapi dia hanya menjawab tak ada apa-apa. Saya pun tak syak apa-apa dan terus tidur," katanya ketika ditemui di sini tadi.

Menurutnya, pada keesokan harinya, dia menghantar isterinya ke tol Alor Setar kerana isterinya akan menaiki kereta rakannya ke tol Sungai Dua, Butterworth.

"Isteri saya tumpang kereta rakannya untuk ke tempat kerja dan parkir keretanya di tol Sungai Dua. Selepas menghantarnya di tol Alor Setar pada Isnin, jam 5.45 pagi, saya ada menghubunginya pada sebelah petang namun panggilan tidak dijawab.

Usaha mencari mangsa dengan bantuan Unit K9 di sekitar sekolah tempat mangsa mengajar dan kawasan berdekatan.
Usaha mencari mangsa dengan bantuan Unit K9 di sekitar sekolah tempat mangsa mengajar dan kawasan berdekatan.

"Pada jam 6.30 petang, saya pulang ke rumah dan mendapati telefon bimbit isteri ada di atas almari bilik. Saya menghubungi rakan isteri dan mereka juga tidak tahu di mana dia berada.

"Mereka hanya nampak kereta isteri di luar kawasan sekolah namun mengesahkan dia hadir pada hari tersebut. Berdasarkan keterangan guru besar, kali terakhir isteri saya dilihat adalah pada 14 Januari lalu kira-kira jam 9.40 pagi di kantin sekolah," katanya.

Menurutnya, mereka tidak mempunyai masalah sebelum itu dan mengesyaki kehilangan isterinya itu ada hubung kait dengan kegagalan permohonan pertukaran tempat kerja.

"Pada masa sama, dia sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Alor Setar.

"Saya bersama-sama guru dan guru besar ada mencarinya di sekitar sekolah pada Selasa namun gagal. Saya buat laporan polis kerana bimbang keselamatan isteri saya," katanya.

Risau dengan keadaan isterinya, Muhammad Naim berkata, dengan tekanan yang dihadapinya itu, dia dilarang untuk duduk berseorangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika ditemui berkata, sepasukan anggota polis dengan bantuan dari Unit K9 telah diarahkan untuk melancarkan operasi mencari guru tersebut.

Menurutnya, operasi mencari dilakukan di sekitar sekolah dan kampung berdekatan.

"Operasi dihentikan pada jam 6 petang tadi berikutan tiada petunjuk mengenai mangsa di kawasan sekitar.

"Saya mohon kepada orang awam yang mempunyai maklumat atau ternampak mangsa agar menghubungi balai polis terdekat atau Balai Polis Balik Pulau," katanya.