Pekerja Pasar PD positif Covid-19

Tular berkenaan peniaga Pasar Port Dickson positif Covid-19.
Tular berkenaan peniaga Pasar Port Dickson positif Covid-19.
A
A
A

PORT DICKSON – Seorang pekerja warga asing di Pasar Port Dickson disahkan positif koronavirus (Covid-19) semalam, kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Port Dickson, Khairy Maamor.

Beliau berkata, keputusan itu diperoleh selepas saringan yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah terhadap 120 peniaga dan pekerja pasar berkenaan sebelum ini.

“Sebagai langkah pencegahan, kita ambil inisiatif awal buat saringan terhadap kesemua peniaga dan pekerja di pasar berkenaan selepas kes kluster pasar borong Selayang, Kuala Lumpur serta Seremban.

“Daripada semua yang buat saringan, seorang pekerja warga asing lelaki didapati positif Covid-19 dan telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut,”katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tetapi orang ramai tidak perlu panik dan operasi pasar berkenaan tetap berjalan seperti biasa dengan menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan selain hanya gerai tempat pekerja itu serta pemilik gerai kawasan berhampiran diarahkan tutup selama tiga hari.

“Kita tidak tutup sepenuhnya kerana pada hari Khamis dan Jumaat minggu lalu kita telah menutupnya bagi proses sanitasi.

“Hari ini sekali lagi Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Bomba buat sanitasi,” kata beliau.

Tambahnya, semua peniaga dan pekerja pasar itu juga diminta untuk menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari manakala pemilik perlu mencari orang lain untuk membantu perniagaannya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu kata beliau lagi, bukan sahaja peniaga dan pekerja di Pasar Awam Port Dickson, malah peniaga di Pasar Awam Lukut dan Teluk Kemang juga menjalani saringan Covid-19 sebagai langkah pencegahan.

“Kita fokus ketiga-tiga pasar ini kerana ia antara tumpuan ramai. Peniaga di Pasar Lukut seramai (85) orang dan Teluk Kemang (39) orang.

“Secara keseluruhan keadaan pasar-pasar awam di daerah Port Dickson berada dalam keadaan terkawal,”katanya.