RTK antibodi tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan Covid-19

Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan.
 -Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan.
 -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ujian serologi kit ujian pantas (RTK) antibodi yang dijalankan di klinik swasta dengan menggunakan sampel darah dari hujung jari tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa (active infection).

"Keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji tersebut tidak dijangkiti Covid-19," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering menekankan bahawa ujian bagi mengesan virus Covid-19 adalah berasaskan antigen iaitu melalui ujian Real time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) ataupun ujian RTK antigen.

"Kedua-dua ujian tersebut memerlukan pengambilan Nasopharyngeal (NPS) Swab oleh anggota yang terlatih dengan menggunakan alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian serta kelengkapan makmal seperti Biological Safety Cabinet (BSC) ketika memproses sampel yang diambil," katanya.

Beliau berkata, ujian RTK antibodi boleh digunakan bagi tujuan pelaksanaan kajian prevalen jangkitan Covid-19 di dalam masyarakat atau dalam kalangan kumpulan sasar.

Jelasnya, ia selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu RTK antibodi boleh digunakan dalam aktiviti survelan dan kajian epidemiologi.

"Untuk makluman, buat masa ini tiada bukti kukuh dari kajian saintifik yang menunjukkan bahawa orang yang telah pulih daripada Covid-19 dan mempunyai antibodi adalah terlindung daripada jangkitan kedua (second infection)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu katanya, KKM mengambil maklum mengenai isu yang dibangkitkan oleh beberapa pihak mengenai penggunaan RTK antibodi di klinik swasta bagi saringan pekerja untuk kembali bertugas.