Pengusaha tadika, taska minta PKPB lebih jelas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta memperjelaskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk tadika dan taska yang merupakan kemudahan sokongan kepada ibu bapa bekerja.

Pengasas Genius Auland, Zaliza Alias berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan tadika dan taska beroperasi kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mahu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini.

Menurutnya, pusat pendidikan awal kanak-kanak itu mempunyai lesen Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) yang berfungsi seperti pusat jagaan harian dengan program pembelajaran tertentu.

“Oleh itu ibu bapa yang perlu bekerja memerlukan khidmat sokongan ini termasuk mereka yang bekerja pada waktu fleksibel dan masih perlu ke tempat kerja pada waktu tertentu.

“Ramai yang menyangka semua tadika menerima Upah Subsidi dan pelepasan sewa atau sewa premis murah berikutan moratorium yang diberikan pihak bank kepada tuan tanah.

“Hakikatnya hampir kesemua tadika dan taska bergantung kepada pemilik premis dan ramai yang tidak menerima diskaun sewa. Begitu juga dengan Upah Subsidi,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun Zaliza berkata, bagi pengusaha yang memperoleh Upah Subsidi, jumlah bantuan kerajaan itu digunakan untuk memberi diskaun yuran kepada ibu bapa.

Menurutnya, pusat pendidikan awal kanak-kanak secara amnya mempunyai margin yang sangat kecil termasuk tadika berjenama dan Islam dengan yuran berpatutan.

Artikel Berkaitan:

“Mengikut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), tadika atau sekolah ialah tempat selamat untuk kanak-kanak.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB yang panjang, semakin banyak kes penderaan fizikal dan seksual selain kesan terhadap perkembangan mental kanak-kanak di persekitaran dalam rumah yang tidak selamat.

“Jadi PKPB untuk tadika dan taska ini perlu lebih diperjelaskan,” katanya.