Pindah kampung gara-gara peristiwa Bukit Kepong

Keadaan tapak Balai Polis Bukit Kepong di Muar yang diserang komunis pada 23 Februari 1950. (Gambar kecil: Dr Nooh Gadot)
Keadaan tapak Balai Polis Bukit Kepong di Muar yang diserang komunis pada 23 Februari 1950. (Gambar kecil: Dr Nooh Gadot)
A
A
A

SETIAP kali tiba tarikh keramat 23 Februari setiap tahun, peristiwa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor yang mengorbankan 17 anggota polis tetap segar dalam ingatan.

Pada jam 5 pagi 23 Februari 1950, segerombolan 180 anggota Parti Komunis Malaya (PKM) melakukan serang hendap ke atas balai polis tersebut yang terletak di tebing Sungai Muar, kira-kira 60 kilometer dari bandar Muar semasa darurat selepas Perang Dunia Kedua.

Persekutuan Tanah Melayu yang masih belum merdeka ketika itu menyaksikan 25 anggota polis di Bukit Kepong berjuang habis-habisan sehingga gugur seorang demi seorang.

Serangan gerila itu berakhir dengan 17 anggota polis terkorban manakala 40 pengganas komunis berjaya dibunuh.

Meskipun peristiwa itu tidak mengorbankan ahli keluarga bekas Mufti Johor, Datuk Dr Nooh Gadut, namun keadaan huru-hara darurat ketika itu amat dirasai oleh beliau sekeluarga sehingga memaksa mereka berpindah-randah demi keselamatan diri.

“Kampung asal saya, Kampung Tekam bersempadan dengan Bukit Kepong. Demi keselamatan keluarga, bapa membawa kami berpindah ke tempat yang lebih selamat di Kampung Bukit Senggir, Pogoh 2, Segamat.

“Bayangkan ketika itu saya yang masih kecil bersama 14 adik-beradik lain terpaksa meredah hutan belantara sewaktu Bukit Kepong diserang komunis,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor itu mengimbau kenangan silam kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Walaupun usianya kini mencecah 73 tahun, ingatan Nooh masih kuat terhadap peristiwa yang penuh teladan dan pengajaran itu.

Artikel Berkaitan:

Selepas tiba di Bukit Senggir, keluarganya mendirikan sebuah rumah di kampung berkenaan.

Antara anggota polis yang terlibat mempertahankan negara ketika pengganas komunis melancarkan serangan gerila ke atas Balai Polis Bukit Kepong.
Antara anggota polis yang terlibat mempertahankan negara ketika pengganas komunis melancarkan serangan gerila ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Ilmu

“Ahli keluarga kami besar, bapa saya pula hanya bekerja sebagai pekebun. Dia begitu bertungkus lumus menyediakan tempat kami berteduh.

“Bermula dari situ, saya tanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh demi membina keluarga saya sendiri yang lebih baik apabila besar nanti,” ceritanya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu mula mengembara menuntut ilmu agama di Sekolah Rendah Islam Negeri Johor sebagai persediaan selama dua tahun.

Nooh tidak mensia-siakan usia remajanya dengan terus menuntut ilmu biarpun pelbagai rintangan dan dugaan dihadapi.

Beliau terus menuntut ilmu di peringkat menengah rendah di Madrasah Al-Khairiyyah Al-Arabiyyah As-Syahadah Al-Ibtidaiyyah, Segamat sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan As-Syahadah Al-Thanawiyyah di Institusi Maahad Johor.

Menanam falsafah belajar kerana ALLAH SWT dan meraih keredaan- NYA, Nooh terus mendalami ilmu pendidikan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Islam dan Syariah Islam di Universiti Al- Azhar, Mesir.

Selepas tamat pengajian peringkat ijazah, Nooh kembali menabur bakti di negeri kelahirannya, Johor, dengan memegang pelbagai jawatan termasuk Pemangku Kadi, Peguam Syarie, Pegawai Hal Ehwal Agama Islam (Jabatan Perdana Menteri) dan Guru Agama Negeri Johor.

Pengalaman luas beliau dalam amalan Islam dan fiqh, metodologi perundangan, hadis dan sains kerohanian melayakkan Nooh dilantik sebagai Mufti Negeri Johor pada tahun 1999.

 Dr Nooh Gadut
Dr Nooh Gadut

Mengimbau kembali kenapa beliau memilih ilmu agama sebagai pilihan pendidikan, Nooh berkata, ketika beliau remaja terdapat kepercayaan khurafat, ajaran sesat serta penyelewengan akidah.

“Tiada seorang pun ahli keluarga saya pada masa itu mendalami ilmu agama, jadi saya tanam azam menuntut ilmu agama demi mencari kebenaran.

“Pada masa itu, terdapat kepercayaan khurafat, ajaran sesat, penyelewengan akidah dan ibadah serta akhlak. Jadi, berbekalkan kekuatan saya mendalami ilmu agama untuk membetulkan keadaan diri serta umat Islam khususnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Nooh menasihati umat Islam agar menanam falsafah belajar kerana ALLAH demi meraih keredaan-NYA.

“Cabaran dan halangan hendaklah dijadikan motivasi dan batu loncatan ke mercu kejayaan.

“Belajar ilmu agama perlukan masa yang panjang bahkan sepanjang hayat. Dari situ, kita belajar menjadi seorang yang bersyukur kepada ALLAH,” katanya.

Beliau bersara wajib sebagai Mufti Johor pada November 2002 dan meneruskan khidmatnya sehingga November 2008. Beliau kini kekal sebagai Penasihat Majlis Agama Islam Johor.

Selain itu, Nooh juga dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sejak 2001 sehingga kini, beliau aktif membentangkan kertas kerja dan menyumbangkan idea mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan agama.

Pengalaman luas dalam ilmu agama dan pendidikan Islam telah membolehkan beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2009.