Singapura catat 753 kes baharu Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SINGAPURA - Singapura semalam melaporkan bahawa sejumlah 328 pesakit lagi telah pulih daripada jangkitan Covid-19, namun hari ini mengesahkan 753 kes positif baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 22,460.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu, data awal setakat 12 tengah hari menunjukkan bahawa hanya sembilan kes membabitkan warganegara atau penduduk tetap Singapura manakala bakinya adalah pekerja asing yang menghuni asrama pekerja.

Kenyataan itu menyebut bahawa Kementerian Kesihatan Singapura masih meneliti butiran kes dan akan memberikan kemas kini mengenai perkara tersebut kemudian.

Singapura, yang meningkatkan ujian koronavirus sehingga 40,000 sehari, setakat ini telah mengklasifikasikan sejumlah 1,272 sebagai kes komuniti, 579 kes import dan 624 kes membabitkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama.

Sementara itu, pekerja asing yang menghuni asrama pekerja mendominasi jumlah keseluruhan kes pada Jumaat iaitu 21,707 dengan kira-kira 88.5 peratus atau 19,232 kes, demikian menurut data terperinci yang dikeluarkan pada lewat Jumaat.

Republik itu turut mengenal pasti lima kluster baharu semalam manakala kluster terbesarnya iaitu Asrama Pekerja S11 @ Punggol mempunyai sejumlah 2,535 kes yang telah disahkan.

Ketika ini, sejumlah 2,040 pesakit telah dibenarkan keluar hospital atau kemudahan penjagaan komuniti manakala 1,245 kes masih menerima rawatan dengan 22 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Kementerian itu berkata sejumlah 18,402 kes yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 20 orang meninggal dunia akibat komplikasi susulan jangkitan Covid-19 di sini, kebanyakannya warga emas.

Singapura kini menjalankan ujian secara progresif ke atas semua 16,000 penghuni rumah penjagaan dan menjangkakan ia selesai pada awal Jun.- Bernama