Ketatkan kawalan di sempadan negara elak kegiatan penyeludupan

Fazli Nordin
Fazli Nordin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kawalan di sekitar sempadan negara perlu diperketatkan lagi walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan daripada berleluasa.

Pengarah Urusan Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Cawangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, lokasi di sempadan yang menjadi lorong tikus kepada penyeludup lumpuh susulan kawalan ketat pihak berkuasa ketika PKP ini.

Beliau berkata, sejak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kawalan lebih ketat di sepanjang sempadan Malaysia pada 10 April lalu, tiada pergerakan tidak sah dan aktiviti penyeludupan dilaporkan.

“Kawalan lebih ketat di sempadan bukan sahaja menjamin keselamatan rakyat Malaysia daripada penularan pandemik Covid-19 oleh pelawat tanpa dokumen sah, malah ia juga mengelak merebaknya kegiatan penyeludupan dan perdagangan haram,” katanya pada satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, situasi perdagangan haram kekal pada tahap serius tetapi usaha berterusan dan dedikasi yang ditunjukkan oleh barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia hampir menunjukkan kejayaan.

Beliau mengulas laporan berita mengenai kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas sejumlah 21.7 juta batang rokok tidak sah, yang bernilai RM14.5 juta dari segi cukai yang tidak dipungut, semasa tempoh antara 18 Mac dan 13 April 2020.

Polis Diraja Malaysia juga mengumumkan kejayaannya baru-baru ini, menumpaskan sindiket di Cameron Highlands yang cuba mengedar 700 karton rokok tidak sah bernilai RM900,000.

Justeru Fazli berkata, kejayaan-kejayaan oleh wira-wira penguatkuasaan hendaklah dihargai, apatah lagi ada di antara mereka yang melaksanakan tugas semasa berpuasa pada bulan Ramadan ini.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu katanya, dengan lebih daripada 12 bilion batang rokok tidak sah dijual di Malaysia setiap tahun, kebanyakannya di kilang di luar negara dan dibawa ke Malaysia menerusi sempadannya yang luas, banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia dan agensi penguatkuasaan berkaitan supaya mengekalkan kesiapsiagaan tinggi di sepanjang sempadan negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang dan juga selepas pandemik ini berkurangan. Ini akan melindungan nyawa dan perniagaan dan pada masa sama, menyumbang kepada pembinaan semula ekonomi kita,’’ tambah beliau.

Beliau berkata, RTBA Malaysia adalah sebahagian daripada pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang bertujuan mengawal selia rantaian bekalan dan jenama daripada perlakuan jenayah.

“RTBA Malaysia berhasrat untuk bekerja rapat dengan pemegang saham utama dalam sektor awam dan swasta bagi menggalakkan dan memudahcara polisi-polisi yang boleh melindungi lebih lagi perniagaan daripada jenayah, terutama di dalam bidang perdagangan haram,’’ katanya.