Derhaka kepada Agong: Ummah Perak lapor polis berkaitan usul Shafie

Khalil Idham (kiri) bersama aktivis Ummah, Termizi Mohamad membuat laporan polis di IPD Kerian, di sini, hari ini.
Khalil Idham (kiri) bersama aktivis Ummah, Termizi Mohamad membuat laporan polis di IPD Kerian, di sini, hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak membuat laporan polis terhadap penularan sepucuk surat oleh seorang Ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamed Ariff Yusof yang dinilai mempunyai unsur penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya, Khalil Idham Lim berkata, surat tersebut disifatkan satu penderhakaan yang nyata kepada Yang di-Pertuan Agong kerana mempertikai kuasa lantikan Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, mengikut Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, kuasa melantik seorang perdana menteri adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong selain pada hemat Seri Paduka Baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

"Perlakuan ini menanamkan bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap institusi raja dan sultan yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara, khususnya di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

"Perlakuan ini juga mempunyai kecenderungan untuk mengajak Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk berlaku tidak setia kepada Yang di-Pertuan Agong yang membuat keputusan melantik Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri berdasarkan kuasa budi bicara yang diperuntukkan kepada Seri Paduka Baginda oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini, hari ini.

Khalil Idham berkata, tindakan tersebut disifatkan serius dan pihak polis perlu menyiasat tindakan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: YDP Dewan Rakyat sahkan terima usul Shafie Apdal

Semalam, Mohamad Ariff mengesahkan ketulenan sekeping surat yang tular mengenai usul yang dikeluarkan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal.

Artikel Berkaitan:

Usul itu adalah mengenai ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan majoriti oleh ahli-ahli Dewan Rakyat menurut Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).