Hikmah di sebalik PKP, gelandangan mudah dikesan waris

Tindakan DBKL mengumpulkan gelandangan di Penempatan Sementara Gelandangan (PSG) di sekitar ibu negara ketika PKP memudahkan waris dan majikan mereka untuk mengesan semula ahli keluarga dan pekerja yang terpisah sejak sekian lama.
Tindakan DBKL mengumpulkan gelandangan di Penempatan Sementara Gelandangan (PSG) di sekitar ibu negara ketika PKP memudahkan waris dan majikan mereka untuk mengesan semula ahli keluarga dan pekerja yang terpisah sejak sekian lama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu memberi hikmah dan sinar kegembiraan buat beberapa gelandangan yang ditempatkan di Penempatan Sementara Gelandangan (PSG) di sekitar ibu negara.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan, DBKL menyediakan penempatan sementara itu bagi mengelakkan gelandangan daripada dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, gelandangan ditempatkan di beberapa lokasi yang lebih selamat dan teratur.

“Tanpa disedari pengumpulan gelandangan ini di satu tempat memudahkan waris dan majikan mereka untuk mengesan semula ahli keluarga dan pekerja yang terpisah sejak sekian lama.

“Hasilnya terdapat permintaan daripada beberapa waris dan majikan penghuni PSG yang ingin membawa mereka pulang ke rumah memandangkan hari perayaan bakal menjelang tiba,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan, DBKL memenuhi permintaan waris dan majikan untuk mengambil penghuni PSG namun dengan beberapa syarat tertentu.

“Antara syarat dan prosedur pelepasan termasuk surat aku janji kepada waris dan majikan supaya menjaga mereka (gelandangan) agar tidak berkeliaran lagi di bandar raya,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan, seramai 125 orang telah keluar dari PSG setelah dituntut waris dan majikan sejak 28 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, DBKL memaklumkan kesemua penghuni PSG telah menjalani saringan Covid-19 dan hasil ujian kesemua mereka didapati negatif.