Covid-19: Belum ada daerah zon hijau di Selangor

Maklumat terkini mengenai kes aktif Covid-19 di Selangor menerusi info grafik yang dimuat naik STFC di akaun Facebook rasminya.
Maklumat terkini mengenai kes aktif Covid-19 di Selangor menerusi info grafik yang dimuat naik STFC di akaun Facebook rasminya.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga daerah di Selangor masih ditakrif sebagai zon merah kes aktif positif koronavirus (Covid-19) manakala enam lagi daerah kekal di kategori zon kuning sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Menerusi info grafik dikongsikan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di akaun Facebook rasminya, belum ada daerah yang ditakrif sebagai zon hijau di Selangor.

Namun daerah Sepang yang kini hanya mencatat satu kes aktif positif Covid-19 dan ditakrif sebagai zon kuning setakat semalam menghampiri untuk berada di zon hijau.

Setakat semalam daerah Gombak mencatat kes aktif tertinggi iaitu 86 kes diikuti Petaling (48 kes) dan Hulu Langat (45 kes).

Daerah Klang pula mencatat 14 kes, Kuala Selangor (13 kes), Kuala Langat (empat kes), Sabak Bernam (dua kes), Hulu Selangor (dua kes) dan Sepang (satu kes).

STFC menerusi kenyataan dikeluarkan memaklumkan, secara keseluruhan situasi di Selangor masih kekal seperti kelmarin iaitu 31 mukim dicatat sebagai zon hijau, 24 zon kuning dan hanya satu mukim ditakrif sebagai zon merah iaitu mukim Batu.

“Hanya tiga daerah berada dalam zon merah iaitu Gombak, Petaling dan Hulu Langat manakala daerah lain berada dalam zon kuning.

“Sebanyak sembilan kes baharu direkod hingga jam 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan 1,564 kes,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Seramai 1,288 pesakit yang dijangkiti Covid-19 di Selangor dilaporkan sembuh dan 215 kes masih aktif.

Setakat ini Selangor mencatat 20 kematian akibat dijangkiti Covid-19.

Dalam pada itu, STFC memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) di Selangor melibatkan kewajipan penggunaan topeng muka bagi warga Selangor.

Menurut kenyataan itu, ia bermakna selain daripada penjarakan sosial dan kebersihan diri, memakai topeng muka termasuk dalam pakej pencegahan utama di Selangor buat masa ini.

“Kita perlu cegah bersama supaya kesihatan masyarakat tetap terpelihara,” menurut kenyataan itu.