PKPMP nafi media dilarang buat liputan kes Nurul Hidayah

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA – Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) menegaskan, tiada larangan dikeluarkan kepada pihak media untuk membuat liputan prosiding kes Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan suaminya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang dituduh di Mahkamah Majistret, semalam.

Menerusi satu kenyataan hari ini, PKPMP berkata, tindakan mahkamah mengarahkan orang awam keluar daripada mahkamah terbuka itu bagi memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi.

Menurutnya, selain prosiding ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan anak serta menantu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terdapat kes lain yang ditetapkan menyebabkan berlaku kesesakan dan tiada jarak sosial dalam mahkamah.

"Mahkamah tidak sedar dengan kehadiran media yang membuat liputan pada hari tersebut.

“Jadi, tiada isu pihak media dihalang untuk membuat liputan kerana mahkamah sentiasa memastikan akses kepada keadilan dilaksanakan kepada semua pihak termasuk media,” katanya.

Semalam, berlaku insiden menyebabkan ada yang mendakwa pihak media tidak dibenarkan memasuki ruang perbicaraan bagi prosiding kes berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Hidayah, suami didenda RM800 ingkar PKP

Menerusi perbicaraan itu, Nurul Hidayah, 41, dan Saiful Nizam, 49, masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan ingkar PKP.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bergerak dari Jalan Bayu Nyaman Country Heights, Kajang ke Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Bag kesalahan yang dilakukan pada jam 9 pagi, 20 April lalu, mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh itu, didenda masing-masing RM800.

Keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati seorang wanita, B Lisa Christina kerana dia dikenakan dihukum penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan sama.

PKPMP berkata, hukuman terhadap Lisa Christina sudah diubah daripada penjara kepada denda.

Keputusan diambil selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menggunakan kuasa semakannya terhadap permohonan yang dibuat oleh ibu tunggal tersebut.

Mahkamah mengetepikan hukuman penjara itu dan menggantikan dengan denda RM 1,000.