230 premis di Johor disita sejak pelaksanaan PKP

Ayub
Ayub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 230 premis disita oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini ketika operasi pemeriksaan pematuhan industri atau sektor ekonomi terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi tempoh 21 Mac hingga 3 Mei lepas.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 8,033 amaran lisan, 6,892 notis amaran bertulis dan 158 tawaran kompaun turut dikeluarkan.

“Untuk rekod, 128,705 pemeriksaan dilaksanakan PBT Johor ke atas pelbagai premis perniagaan, pusat hiburan, pasar awam, kilang dan tapak pembinaan bagi memastikan pematuhan industri atau sektor ekonomi kepada arahan PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi memastikan pematuhan berterusan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau berkata, seramai 1,681 petugas barisan hadapan PBT akan terlibat dalam operasi pemeriksaan terhadap premis perniagaan atau kilang yang dibenarkan beroperasi ketika PKPB.

Menurut beliau, kesemua mereka akan membantu memastikan premis atau kilang yang terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan susulan keputusan kerajaan negeri mengikuti jejak langkah kerajaan Persekutuan melaksanakan PKPB berkuat kuasa semalam.

“Oleh itu, usaha ini (pemeriksaan) semestinya akan terus dijalankan bagi memastikan keadaan di negeri Johor sentiasa terkawal,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: