Individu datang ke Perlis perlu jalani kuarantin 14 hari

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

KANGAR - [DIKEMASKINI] Individu yang pulang dari luar negara ke Perlis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hendaklah menjalani saringan kesihatan dan dikuarantin selama 14 hari.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, ia bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri Zon Hijau Covid-19.

"Untuk pergerakan rentas negeri, individu diminta menjalani saringan kesihatan di klinik kesihatan bagi menentukan risiko jangkitan sebelum diputuskan keperluan dikuarantin atau sebaliknya.

"Peraturan ini merangkumi semua individu termasuk dari Zon Merah, mahupun negeri Zon Hijau seperti Kedah. Tiada pengecualian kepada sesiapa pun seperti diarahkan Kementerian Kesihatan bagi membendung Covid-19,” katanya kepada media di sini hari ini.

Azlan berkata, seramai 116 individu masih dikuarantin di tiga pusat kuarantin di negeri ini iaitu 49 orang ditempatkan di Institut Latihan Perindustrian, 43 di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis dan bakinya di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan), Kangar.

Dalam pada itu, Azlan berkata, operasi premis makanan di Perlis sepanjang PKPB dilanjutkan sehingga 10 malam berbanding 8 pagi hingga 8 malam sebelum ini.

"Orang ramai dibenarkan makan di kedai namun pemilik premis perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, tindakan tegas akan diambil jika langgar syarat," katanya.

Menurutnya, peniaga digalakkan melaksanakan penjualan secara bungkus/pandu lalu sekiranya tidak dapat memenuhi SOP berkaitan makan di premis.

Artikel Berkaitan:

Azlan berkata, untuk aktiviti sukan dan rekreasi, orang ramai hanya dibenarkan melakukan joging di Trek Denai Larian, Pengkalan Assam, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Taman Bukit Lagi.

"Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) hari ini juga bersetuju dengan penambahbaikan yang dibuat antaranya pembukaan pusat rekreasi dilakukan secara berperingkat, manakala penggunaan peralatan senaman

di taman awam tidak dibenarkan." katanya.

Dalam kenyataan tambahan yang dikeluarkan, beberapa penambahbaikan lain antaranya, sektor kebersihan seperti pemotongan rumput jalan dan pokok dibenarkan berdasarkan SOP ditetapkan.