X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB bukan 'tiket' untuk bergerak bebas: Exco

Orang ramai mula menjalankan aktiviti harian dan beberapa kedai dibuka seperti biasa di pekan Kota Masai, Pasir Gudang, Johor hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini bukan dibuat secara semberono, tetapi selepas mengambil kira pelbagai sudut serta pandangan semua agensi dan kementerian yang terlibat dalam pengurusan koronavirus (Covid-19).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan keperluan ekonomi selepas meneliti perkembangan semasa Covid-19 lebih-lebih lagi tiada lagi kes baharu dicatatkan sehingga semalam.

"Kerajaan negeri menerima pelbagai reaksi selepas memutuskan pelaksanaan PKPB. Dalam pelaksanaan PKPB, beberapa syarikat dan premis perniagaan yang ditutup semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu beroperasi semula dengan beberapa syarat dan peraturan khusus.

"Namun sedikit kelonggaran yang diberi semasa pelaksanaan PKPB bukan 'tiket' untuk orang ramai bergerak bebas. Sebaliknya adalah tempoh bagi untuk mula mempraktikkan dan menyesuaikan diri dengan satu norma baharu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, norma baharu itu merangkumi perkara-perkara seperti mengamalkan langkah-langkah kesihatan, menggalakkan amalan kebersihan yang tinggi, mengamalkan amalan-amalan pencegahan jangkitan dan mengelakkan sebarang bentuk perhimpunan.

Semasa PKPB katanya, dinasihatkan semua industri termasuk peruncitan mematuhi panduan yang ditetapkan dan paling penting memastikan kebersihan premis, pengurusan pelanggan merangkumi aspek penjarakkan sosial dan transaksi tanpa sentuhan, saringan kesihatan serta penggunaan cecair pembasmi kuman.

Tegas beliau, ketidakpatuhan SOP yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas pemilik premis.

"Misalnya semalam, satu operasi penguatkuasaan PKPB secara rambang telah dijalankan di tiga lokasi terpilih di daerah Kulai. Operasi bersepadu ini dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan dengan kerjasama polis dan PBT.

"Susulan operasi ini, dua notis penutupan telah dikeluarkan ke atas dua premis di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga semalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sudah melakukan 1,569 Operasi Sanitasi Awam di 10 daerah merangkumi 614 bangunan kerajaan, 138 rumah ibadat, 355 tempat awam dan 462 kawasan tertentu.

Menurutnya, operasi itu turut dilaksanakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di seluruh negeri termasuk bas-bas untuk menghantar penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) pulang ke kampung masing-masing.

"Sebanyak 28 Operasi Sanitasi Bas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dijalankan melibatkan 129 bas, 31 van dan 102 kereta.

Seramai 1,321 penuntut dihantar pulang ke kampung halaman bagi Zon Selatan sehingga kini," ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!