Covid-19: Kes positif turun kepada dua angka, tiada kematian

NOOR HISHAM
NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas dua hari berturut-turut merekodkan angka tiga digit, hari ini kes baharu positif wabak koronavirus (Covid-19) di Malaysia kembali turun kepada dua angka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 55 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 6,353 orang.

Katanya, daripada 55 kes baharu itu tujuh melibatkan kes import dan selebihnya penularan tempatan.

"Daripada 48 kes penularan tempatan itu, sebanyak 24 kes telah dikesan daripada kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sehingga kini, seramai 28 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 71 kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sebanyak 4,484.

"Hari ini tiada kematian akibat Covid-19 direkodkan, menjadikan jumlahnya kekal 105 orang," katanya.

Artikel Berkaitan: