Jadikan kisah Covid-19 di Hokkaido sebagai iktibar

Gambar kecil: Mohd Sharkar
Gambar kecil: Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan perlu menjadikan situasi gelombang kedua penularan wabak koronavirus (Covid-19) di Hokkaido, Jepun sebagai iktibar dan tidak perlu terburu-buru membuka semula sektor ekonomi dan sosial di negara ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, masih ada jangkitan baharu direkodkan termasuk enam individu dari sebuah madrasah di Lanchang dan seorang individu di Mentakab.

Beliau yang juga ADUN Lanchang berkata, "daerah Temerloh yang sebelum ini diisytiharkan hijau selepas tujuh kes terawal pulih kembali ke zon kuning," katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Mohd Sharkar berkata, beliau tidak mahu situasi di Hokkaido berlaku di negeri ini.

"Pulau di utara Jepun itu kini dilanda gelombang kedua dengan 135 jangkitan Covid-19 dalam tempoh seminggu.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Kerajaan yakin tidak berlaku gelombang kedua seperti di Jepun

"Difahamkan Hokkaido menamatkan perintah berkurung selama tiga minggu apabila kes jangkitan berkurang kepada satu angka bagi membolehkan perniagaan dan sekolah beroperasi namun kini darurat kecemasan terpaksa diisytiharkan semula.

"Usaha menggerakkan semula sektor ekonomi dan sosial seperti yang diumumkan kerajaan baik tapi biarlah dilakukan secara berperingkat dan berhati-hati supaya kita tidak tersalah langkah," katanya melalui kenyataan itu

Sementara itu, Mohd Sharkar turut menasihatkan ahli keluarga individu positif Covid-19 yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit melakukan pemeriksaan supaya dapat mengawal wabak ini daripada merebak.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang berada di kawasan berdekatan madrasah juga diingatkan supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.