Penempatan peneroka di Hulu Rening sudah tidak beroperasi

Polis menggempur sebuah kawasan penempatan di Kampung Hulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 Mac lalu.
Polis menggempur sebuah kawasan penempatan di Kampung Hulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor pada 28 Mac lalu.
A
A
A

HULU SELANGOR – Pemantauan Polis Diraja Malaysia mendapati penempatan peneroka di Kampung Hulu Rening sudah tidak beroperasi selepas serbuan dilaksanakan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarrudin berkata, beliau telah melawat kawasan berkenaan mendapati peneroka tidak menjalankan operasi lagi di kawasan itu.

“Kesemua individu yang duduk di kawasan itu telah diarahkan pulang ke tempat asal masing-masing. Saya juga dimaklumkan Majlis Daerah Hulu Selangor telah mengarahkan individu berkenaan mengosongkan kawasan itu sehingga tengah hari esok.

“Gambar yang tular di laman sosial adalah dua individu yang ditugaskan sebagai penjaga barangan kerana pengangkutan untuk mengambil barangan itu terhad akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini memaklumkan polis menahan seramai 238 individu termasuk kanak-kanak dan bayi selepas menggempur penempatan di Kampung Hulu Rening pada 28 Mac lalu.

Operasi kira-kira jam 5 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor susulan aduan awam mengenai pelanggaran PKP.

Arsad berkata, kawasan hutan itu sudah diteroka dan terdapat banyak khemah plastik yang digunakan sebagai tempat berteduh.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka datang dari pelbagai negeri dan bernaung di bawah badan bukan kerajaan (NGO) berdaftar.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan soal siasat ke atas salah seorang ahli, NGO tersebut telah membeli tanah seluas 2.4 hektar untuk dijadikan pusat pertanian tradisional,” katanya.

Terdahulu, seramai 154 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kawasan hutan di Hulu Rening, Batang Kali, di sini, masing-masing telah didenda RM600 atau penjara 15 hari oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana mengingkari PKP.

Kesemua mereka termasuk 78 wanita berusia antara 19 dan 61 tahun mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.