Covid-19: KKM akan laksanakan saringan rumah ke rumah

Kementerian Kesihatan akan melaksanakan saringan Covid-19 dari rumah ke rumah bagi mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan dan hospital. - Foto Bernama
Kementerian Kesihatan akan melaksanakan saringan Covid-19 dari rumah ke rumah bagi mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan dan hospital. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan perkhidmatan kesihatan dari rumah ke rumah bagi mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan ataupun hospital di seluruh negara.

Pengarah Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM ketika ini perlu memikirkan bagaimana untuk mengurangkan kesesakan serta mengamalkan penjarakkan sosial termasuk menggunakan perkhidmatan dalam talian.

“Sebagai contohnya pesakit boleh mengambil ubat melalui pos dan kita juga perlu fikirkan sama ada kita juga boleh memberi rawatan rumah ke rumah.

“Sebelum ini kita telah melakukan rawatan di pusat-pusat jagaan di mana warga KKM telah memberikan perkhidmatan di rumah dan ini merupakan satu lagi konsep yang boleh diketengahkan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, waktu operasi perkhidmatan bakal diketengahkan itu juga boleh dilanjutkan sehingga Sabtu dan Ahad.

Katanya, selain itu, tempoh operasi perkhidmatan juga boleh dipanjangkan sehingga jam 10 malam sekaligus membolehkan pesakit dapat melakukan temu janji secara berperingkat.

“Kita mungkin akan mengeluarkan arahan bagi mereka yang datang awal untuk kekal duduk di dalam kereta atau tunggu di kawasan lapang sebelum mereka boleh masuk ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Ini kerana kita tidak mahu berlaku kesesakan khususnya di tempat menunggu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara, Dr Noor Hisham menggesa masyarakat untuk memperkasakan komuniti dan bersama-sama menjalankan tanggungjawab sosial serta kepatuhan terhadap penjarakkan sosial yang diamalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, amalan-amalan baharu di dalam komuniti perlu dipraktikkan untuk membantu negara dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

“Rakyat Malaysia perlu mengamalkan dua daripada enam kriteria penting daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu mengamalkan norma baharu dan pemerkasakan komuniti untuk menjaga dan memantau tanggungjawab sosial dalam masyarakat,” katanya.