PKPB bukan bermakna SOP PKP ditarik balik

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini tidak bermakna prosedur standard operasi (SOP) ditekankan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini akan ditarik balik.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya pelaksanaan PKPB hanya bertujuan memberi kelonggaran kepada sektor perniagaan tertentu untuk kembali beroperasi.

Menurutnya, PKP fasa empat masih berjalan seperti biasa di bawah penguatkuasaan Akta 342 dengan tindakan tegas masih akan diambil kepada mereka yang ingkar PKP.

Ismail Sabri berkata, kerajaan perlu memberi sedikit kelonggaran supaya peniaga kecil kembali dibenarkan berniaga dan hal ini penting kerana kehidupan rakyat di akar umbi adalah agak sukar.

"Ini tidak bermakna PKP tidak ditarik balik sebaliknya hanya dilonggarkan kepada sektor tertentu.

"SOP tetap seperti PKP fasa satu dan dua. Cuma kita perlu beri sedikit kelonggaran supaya peniaga warung, penjual goreng pisang dibenarkan berniaga.

"Kehidupan rakyat di peringkat akar umbi adalah agak sukar, jadi kita beri peluang kepada mereka cari peluang pendapatan walaupun sedikit dan kita mula beri sedikit kelonggaran kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut berharap rakyat perlu mempunyai disiplin untuk menjaga kesihatan dan keselamatan mereka sendiri.

"Kita yang wajib memastikan bahawa kesihatan dan keselamatan kita yang jaga.

"Kita yang perlu memastikan amalan penjarakan sosial dan pembersihan tangan secara kerap akan terus dilaksanakan dan menjadi normal baharu kita. Untuk menjaga diri sendiri adalah tanggungjawab diri sendiri," katanya.