Polis pantau banjir di Kampung Bukit Kerayong

Beberapa kawasan di Kampung Bukit Kerayong mula dilanda banjir sejak semalam
Beberapa kawasan di Kampung Bukit Kerayong mula dilanda banjir sejak semalam
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis giat melakukan rondaan dan pemantauan di beberapa kawasan di Kampung Bukit Kerayong di sini, yang dilanda banjir sejak pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, operasi pemantauan itu dilakukan pasukannya dari Balai Polis Jeram berikutan berlaku limpahan air di beberapa kawasan termasuk kediaman penduduk.

Menurut beliau, kawasan terlibat ialah di Jalan Masjid, Jalan Balai Raya dan Jalan Dato Shafee.

"Beberapa rumah turut terlibat manakala pusat pemindahan belum dibuka lagi memandangkan paras air berukuran kira-kira 0.03 meter dan penduduk masih boleh menduduki rumah masing-masing," katanya.

Justeru itu, katanya, orang awam yang terlibat dinasihati berpindah apabila diarahkan berbuat demikian sekiranya banjir bertambah buruk.

"Sekiranya berlaku limpahan air hingga memasuki kediaman penduduk diminta membuat laporan polis, simpan dokumen penting di tempat selamat, tutup semua peralatan elektrik dan punca elektrik bagi mengelakkan berlaku renjatan elektrik.

"Selain itu, kanak-kanak juga dinasihati tidak bermain air banjir, memaklumkan kesulitan dialami kepada ketua kampung dan hubungi polis jika perlu bantuan pemindahan," katanya.

Artikel Berkaitan: