Pasaran saham Indonesia terancam jatuh setaraf Zimbabwe

Syahganda Nainggolan. Foto: Agensi
Syahganda Nainggolan. Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Pasaran saham Indonesia berdepan risiko kehilangan status pasaran sedang pesat membangun dan diturunkan kepada kategori pasaran kendiri, setaraf klasifikasi Zimbabwe, Argentina dan Panama.

Menurut laporan Kompas pada Jumaat, cadangan penyedia indeks global MSCI itu mencetuskan kebimbangan terhadap kedudukan pasaran modal Indonesia serta keyakinan pelabur antarabangsa.

Ketua Badan Komunikasi Kerajaan Indonesia, Syahganda Nainggolan berkata, kerajaan sedang memantau perkembangan tersebut, termasuk kesannya terhadap pergerakan pasaran saham negara.

"Isu MSCI ini sudah berlarutan sejak April lalu dan memberi kesan kepada pasaran. Jadi, kami sedang meneliti semula ketidaktentuan yang berlaku," katanya kepada media pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan kerajaan, Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan (OJK) dan Bursa Efek Indonesia (BEI) berkemungkinan memberikan maklum balas berhubung perkara itu.

Sementara itu, Pengarah Utama BEI, Jeffrey Hendrik berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada MSCI mengenai asas penilaian yang mendorong cadangan penurunan klasifikasi tersebut.

Menurutnya, BEI bersama OJK sudah melaksanakan pelbagai pembaharuan bagi meningkatkan ketelusan, integriti dan kualiti pasaran modal Indonesia.

Bagaimanapun, MSCI masih menyuarakan kebimbangan terhadap struktur pemilikan saham yang kurang telus serta dakwaan wujudnya aktiviti perdagangan terancang.

Jeffrey menegaskan pengumuman MSCI pada Khamis masih berada pada peringkat rundingan dan belum menjadi keputusan muktamad.

Artikel Berkaitan:

Tempoh mendapatkan maklum balas daripada peserta pasaran dibuka sehingga 30 April 2027, manakala keputusan akhir dijadual diumumkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2027.

BEI turut memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan OJK bagi memastikan perdagangan saham berlangsung secara teratur dan mengekalkan keyakinan pelabur tempatan serta antarabangsa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!