Covid-19: Hampir 220 rakyat Malaysia masih di Itali

Hampir 220 rakyat Malaysia yang bermastautin di Itali memutuskan untuk tidak pulang ke Malaysia susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Hampir 220 rakyat Malaysia yang bermastautin di Itali memutuskan untuk tidak pulang ke Malaysia susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 220 rakyat Malaysia yang bermastautin di Itali memutuskan untuk tidak pulang ke Malaysia susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19), kata Duta Malaysia ke Itali Datuk Abdul Malik Melvin Castelino.

Beliau berkata, kebanyakan mereka sudah berkahwin dengan rakyat tempatan dan mempunyai pekerjaan tetap.

"Mengikut pangkalan data kedutaan, seramai 323 rakyat Malaysia termasuk pelajar berdaftar dengan kedutaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 81 rakyat Malaysia dan tanggungan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Itali pada Mac,” katanya dalam temu bual eksklusif menerusi Skype bersama Bernama TV malam tadi.

Abdul Malik berkata, pihak kedutaan juga sentiasa berhubung dan memantau perkembangan rakyat Malaysia semasa ke semasa serta menasihatkan mereka mematuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan Itali termasuk duduk di rumah, keluar jika ada urusan berkaitan kesihatan serta mengamalkan penjarakkan sosial.

Dalam pada itu, menurutnya, tiada penuntut Malaysia berada di zon merah penularan wabak Covid-19 dan pihak kedutaan sentiasa berhubung bagi memastikan keselamatan mereka.

Sementara itu, katanya, akses kepada makanan dan keperluan asas tidak menjadi masalah kerana semua pasar raya dan farmasi masih dibuka.

Beliau berkata, Itali mula menunjukkan trend penurunan kes positif Covid-19 berikutan beberapa langkah drastik kerajaan termasuk mengenakan perintah sekatan pergerakan, penjarakan sosial dan tidak menggalakkan sebarang perhimpunan.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri Giuseppe Conte dilapor berkata, Itali akan melonggarkan sekatan pergerakan di seluruh negara pada 4 Mei membolehkan beberapa perniagaan utama disambung semula selepas tujuh minggu tidak beroperasi.

Dalam satu sidang media pada Ahad, Conte mengumumkan permulaan fasa dua wabak Covid-19, yang setakat ini meragut lebih 26,600 nyawa dan menjangkiti lebih 197,675 orang.

Conte memberi amaran, melonggarkan sekatan pergerakan bukan bermakna peraturan penjarakkan sosial ditamatkan, ia masih perlu dilaksanakan untuk mengelak lonjakan baharu lengkung penularan.

Bermula 4 Mei, semua aktiviti di sektor pembuatan dan pembinaan dimulakan semula. Tetapi firma perlu memastikan semua protokol keselamatan yang baharu diperkenalkan dipenuhi sepenuhnya.

Majlis pengebumian juga dibenarkan tetapi diadakan di tempat terbuka, kehadiran tidak melebihi 15 orang. - Bernama