Penjualan bahan mentah di PKPD keenam diteruskan hari ini

Peniaga yang dibenarkan beroperasi dalam PKPD bagi membolehkan penduduk mendapat bekalan bahan mentah. (Gambar kecil: Sabri)
Peniaga yang dibenarkan beroperasi dalam PKPD bagi membolehkan penduduk mendapat bekalan bahan mentah. (Gambar kecil: Sabri)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti penjualan bahan mentah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) keenam di Fasa 3 Taman Sri Murni diteruskan hari ini.

Operasi pasar sementara yang dicadangkan beroperasi pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat diubah jadualnya selepas kebanyakan penduduk di kawasan itu tidak mendapat bekalan semalam selepas stok ikan dan ayam habis awal.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, antara penambahbaikkan yang dilaksanakan pada hari ini adalah dengan mewajibkan peniaga di kawasan itu memasang tanda harga.

"Setakat ini, dakwaan mengatakan peniaga mengenakan harga yang mahal kepada pembeli belum dapat dipastikan kesahihannya.

"Rata-rata pembeli yang ditemui menyatakan harga yang ditawarkan adalah munasabah dan berpatutan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tanda harga dipasang oleh peniaga bagi memudahkan pembeli menguruskan bajet perbelanjaan. (Kanan: Penduduk yang beratur menunggu giliran membeli bahan mentah hari ini. )
Tanda harga dipasang oleh peniaga bagi memudahkan pembeli menguruskan bajet perbelanjaan. (Kanan: Penduduk yang beratur menunggu giliran membeli bahan mentah hari ini. )

Menurutnya, bagaimanapun Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempatkan pemantauan statik bagi mengesan sekiranya berlaku penjualan barangan dengan harga luar biasa.

"Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah turun memantau pasar itu pagi ini bagi memastikan pematuhan syarat perniagaan dilakukan oleh peniaga.

Artikel Berkaitan:

"Operasi pasar sementara ini akan dilaksanakan secara giliran setiap hari mengikut blok menggunakan peniaga yang sama dengan hanya menambah bahan makanan termasuk sayur, ikan, ayam, daging dan buah mengikut keperluan," katanya.

Semalam, terdapat dakwaan dalam kalangan penduduk yang dikenakan caj mahal semasa membuat pembelian di pasar itu.

Stok telur dijual kepada penduduk. (Kanan: Pematuhan penjarakkan sosial oleh penduduk yang membeli keeprluan bahan mentah dalam kawasan PKPD.)
Stok telur dijual kepada penduduk. (Kanan: Pematuhan penjarakkan sosial oleh penduduk yang membeli keeprluan bahan mentah dalam kawasan PKPD.)

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Fasa 3 Taman Sri Murni, Sabri Ahmad berkata, operasi hari kedua pasar sementara itu berjalan dengan teratur dan baik berbanding semalam.

"Stok ditambah menyebabkan penduduk dapat banyak pilihan berbanding semalam termasuk ada pelbagai jenis sayuran selain daging dan telur.

"Penduduk juga saling membantu untuk mendapatkan tunai bagi membolehkan mereka yang menghadapi masalah itu dapat membeli keperluan," katanya.

Terdahulu, PKPD keenam melibatkan kawasan Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur termasuk Taman Sri Murni mula menjalani perintah kawalan itu sejak 20 April dan dijangka berakhir 3 Mei ini.

Penduduk sebelum ini menghadapi masalah mendapat bekalan bahan mentah sejak PKPD dilaksanakan sebelum kemudahan itu disediakan DBKL bermula semalam.