Bekalan bahan mentah untuk Aidiladha mencukupi - FAMA

Saiful (tengah) menyampaikan bakul set bahan mentah berharga RM15 kepada pengguna terawal ke program Jualan Agro Madani dan majlis pelancaran medan jualan terus dari ladang (JTDL) dan GBBS FAMA di Tanah Putih di sini pada Sabtu.
Saiful (tengah) menyampaikan bakul set bahan mentah berharga RM15 kepada pengguna terawal ke program Jualan Agro Madani dan majlis pelancaran medan jualan terus dari ladang (JTDL) dan GBBS FAMA di Tanah Putih di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) Pahang, memberi jaminan bekalan bahan mentah seperti ayam, daging dan sayuran termasuk santan adalah mencukupi menjelang Hari Raya Aidiladha ini.

Pengarah FAMA negeri, Saiful Safri berkata, jualan khas sempena musim perayaan akan diadakan di lapan lokasi pasar tani di seluruh Pahang.

"Kita akan memulakan jualan hari raya Aidiladha pada esok (Ahad) di Pasar Tani UTC (Pusat Transformasi Bandar) Kuantan dan selepas itu diikuti pasar tani di daerah seperti PTK (Pasar Tani Kekal) Pekan, Pasar Tani Kekal Pekan, Chini, Jerantut.

"Kita juga ada pasar borong di Bera, jadi bekalan raya boleh dapatkan di lokasi lokasi kita dengan harga yang dengan harga yang menarik.

"Setakat hari ini, saya berani katakan (beri jaminan) bekalan bahan mentah mencukupi dan (pengguna) boleh dapatkan bekalan daging, ayam dan lain- lain keperluan seperti santan tanpa sebarang masalah di pasar tani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya program jualan agro madani dan majlis pelancaran medan jualan terus dari ladang (JTDL) dan GBBS Fama di Tanah Putih di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut program jualan Agro Madani, Saiful berkata, ia program jualan berkonsepkan jualan pada harga berpatutan berfokuskan kepada golongan B40.

Ujarnya, komoditi produk jualan diperluaskan meliputi produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih dengan penjimatan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

"Program jualan Agro Madani adalah kesinambungan kepada program JTDL, kalau kita tengok sebelum ini JTDL menawarkan harga pada penjimatan antara lima hingga 20 peratus, tetapi pihak Kerajaan Madani menawarkan harga yang lebih baik kepada pengguna.

"Jadi, pada hari ini (Sabtu) kita turut menawarkan promosi pada harga RM15 untuk satu bakul bahan mentah yang mengandungi ayam, sayur dan buah kepada 100 pengunjung terawal datang," jelas beliau lagi.

Saiful menambah, tahun ini FAMA menyasarkan kutipan jualan sehingga RM800,000 bagi 50 lokasi penjualan Agro Madani yang akan dilaksanakan.

"Jadi jualan Agro Madani ini diadakan secara bersiri, hari ini di Kuantan, minggu depan di Bentong dan seterusnya berjalan di daerah-daerah lain untuk membantu golongan berpendapatan rendah," katanya.