Jual lemang RM12 hingga RM14 walaupun harga bahan mentah naik

Nor Azmi menjual lemang pada harga RM12 hingga RM14.
Nor Azmi menjual lemang pada harga RM12 hingga RM14.
A
A
A

JELEBU - Sepasang suami isteri di Kampung Kuala Pah di sini yang mengusahakan perniagaan lemang masih mengekalkan harga makanan tradisi itu antara RM12 hingga RM14 ketika ini, mengikut saiz buluh walaupun berlaku kenaikan kos bahan mentah.

Nor Azmi Nordin, 56, dan Umi Kalsom Mohamad, 49, berkata, berbanding dua tahun sebelum ini harganya hanya RM10 sebatang.

"Tahun lepas saya naikan sedikit harganya antara RM2 hingga RM4 sebab orang kata terlalu murah macam tak ada untung, bagi saya ada sahaja (untung) cuma tidaklah banyak.

"Harga bahan mentah pun dah naik antaranya beras pulut kini mencecah RM42 sekilogram, jadi saya naikanlah sedikit," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Nor Azmi, bagi mendapatkan harga bahan itu lebih murah, iaitu RM38 setiap 10 kilogram dia perlu ke Seremban.

Nor Azmi (tiga kiri) dan isteri (empat kiri) ketika menerima mesin perah santan daripada Pejabat daerah Jelebu baru-baru ini.
Nor Azmi (tiga kiri) dan isteri (empat kiri) ketika menerima mesin perah santan daripada Pejabat daerah Jelebu baru-baru ini.

"Insya-ALLAH selagi kenaikan itu belum ketara saya akan mengekalkan harga lemang namun mengikut keadaan semasa.

"Kualiti dan keenakan lemang pula memang kita jaga, setiap 10 kilogram beras pulut kita guna 15 biji kelapa manakala buluhnya separuh kami cari sendiri di hutan berhampiran dan selebihnya membelinya daripada pembekal.

"Setiap kali musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha kami akan menerima 300 hingga 500 tempahan. Alhamdulillah lemang kami masih mendapat tempat dalam kalangan pelanggan luar termasuklah penduduk kampung," katanya.

Dalam pada itu, Nor Azmi turut meluahkan rasa lega apabila proses pembuatan lemangnya menjadi lebih mudah kerana bahan utama, iaitu santan diproses sendiri menggunakan mesin memerah santan sumbangan Pejabat Daerah Jelebu.

"Jika sebelum ini saya perlu hantar kelapa ke kedai untuk dijadikan santan dengan kos RM1 sebiji kelapa, sekarang tidak perlu lagi.

Nor Azmi ketika menyiapkan 300 lemang pada Aidiladha ini.
Nor Azmi ketika menyiapkan 300 lemang pada Aidiladha ini.

"Selepas ini bolehlah kami meluaskan perniagaan dengan menjual santan pula selain lemang," katanya yang menerima mesin berkenaan yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Jelebu, Nurul Huda Musa baru-baru ini.

Jelas Nor Azmi dia yang sudah 15 tahun membabitkan diri dalam perniagaan menjual lemang ini cukup gembira apabila menerima bantuan mesin berkenaan.