Klinik haiwan, veterinar boleh beroperasi pada PKP fasa 4

Pemilik haiwan dikehendaki menghubungi klinik berdekatan terlebih dahulu untuk buat temujanji.- Foto: 123RF
Pemilik haiwan dikehendaki menghubungi klinik berdekatan terlebih dahulu untuk buat temujanji.- Foto: 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan membenarkan mana-mana klinik haiwan dan veterinar di negara ini beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat bermula 29 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran perkhidmatan klinik berkenaan bagaimanapun hanya berdasarkan temu janji semata-mata dengan pemilik haiwan dikehendaki menghubungi klinik berdekatan terlebih dahulu bagi tujuan itu.

Menurutnya, tujuan kebenaran perkhidmatan melalui temu janji sahaja adalah bagi mengelak berlaku kesesakan di klinik-klinik veterinar dan haiwan disebabkan kunjungan pemilik dan haiwan masing-masing.

"Ramai pencinta haiwan bertanya, adakah klinik haiwan dibuka pada tempoh PKP akan datang bagi membolehkan haiwan peliharaan mereka dirawat dan sebagainya.

"Kerajaan bersetuju membenarkan klinik haiwan dan veterinar beroperasi pada PKP fasa keempat tetapi perkhidmatan adalah semata-mata berdasarkan temu janji sahaja.

"Pemilik haiwan boleh menghubungi klinik berdekatan untuk mendapatkan temu janji terlebih dahulu dan langkah ini bagi mengelakkan kesesakan berlaku sekiranya klinik dibuka seperti biasa," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menyasarkan sejumlah 30.7 juta keping topeng muka diperuntukkan kerajaan kepada setiap isi rumah di negara ini akan selesai diagihkan selewat-lewatnya minggu hadapan.

Menurutnya, setakat ini, sejumlah 88.1 peratus daripada jumlah itu atau 24.8 juta sudah diagihkan ke hampir keseluruhan kawasan semenanjung, manakala agihan bekalan topeng muka di Sabah dan Sarawak sedang dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan topeng muka mula dihantar ke Sabah dan Sarawak sudah dibuat minggu lepas tetapi proses pengagihan di sana masih sedang dilaksanakan susulan aspek pengagihan untuk kawasan Sabah dan Sarawak lebih sukar berbanding semenanjung.

"Saya yakin proses agihan topeng muka untuk keseluruhan isi rumah di negara ini akan dapat disempurnakan minggu hadapan," katanya