Zahid enggan dedah strategi, hak KJ sertai mana-mana parti

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendirian UMNO mempunyai strategi sendiri meskipun kemungkinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bakal menyertai parti lain.

Bahkan ditanya sama ada UMNO berhasrat melakukan rundingan bersyarat dengan Khairy, beliau berkata, sebarang strategi tidak akan didedahkan.

"Saya tidak akan dedahkan strategi, kalau saya kongsi strategi ia tak jadi strategi lagi," katanya ketika sidang akhbar di Kuala Lumpur Convention Centre pada Khamis.

Zahid juga berkata, Khairy mempunyai hak untuk menerima mana-mana tawaran menyertai parti lain memandangkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu bukan lagi ahli UMNO.

"Itu hak dia (Khairy) dia nak ke mana pun, dia bukan ahli UMNO dah," katanya.

Pada Rabu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu kepada Khairy.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

"Saya dan dia (Khairy) sudah berbincang hal ini agak lama, sejak dia dipecat. Ketika itu dia ajak saya berjumpa dan berbincang secara terbuka mengenai hala tuju dan ketokohan beliau sebagai ahli politik muda yang berkaliber.

"Sebenarnya, dia tak mohon untuk masuk (Bersatu) tetapi saya tawar dia menyertai. Tawaran masih ada dan saya ada bertanya lagi (perkembangan menyertai Bersatu) ketika dia menghadiri rumah terbuka saya tempoh hari.

"Khairy bagaimanapun belum memberi sebarang keputusan. Saya rasa tak mengapa, kita tak mahu menggesa dia tetapi harapan Bersatu adalah dia menyertai kita dan bantu membina kekuatan parti," katanya.