Tiada kes baharu Covid-19 di Johor

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Negeri Johor mencatatkan sifar kes baharu Covid-19 semalam menjadikan kes positif kekal sebannyak 655 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, tiada kes kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes kekal sebanyak 17 orang.

"Sehingga semalam juga, jumlah kes sembuh ialah sebanyak 368 kes manakala 270 pesakit masih dirawat.

"Statistik ini menunjukkan kita semakin berjaya melawan virus pandemik Covid-19 ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Vidyananthan berkata, kerajaan negeri akan terus memastikan prosedur kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura akan terus dipantau melalui proses saringan yang ketat oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen Johor.

Jelasnya, ini berikutan republik itu telah mencatatkan pertambahan 618 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif positif di Singapura ialah 12,693 kes.

"Bermula 27 April ini, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura telah menetapkan syarat bahawa semua rakyat Malaysia di negara itu yang berhasrat pulang perlu mendapatkan Permit Kemasukan (Entry Permit)," katanya.

Vidyananthan berkata, kesemua dokumen tersebut perlu diemelkan kepada stmsg@mhc.org.sg selewat-lewatnya dua hari sebelum tarikh memasuki negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Permit Kemasukan akan diemelkan kepada mereka kembali dan mereka perlu menunjukkan dokumen tersebut kepada pihak Imigresen di pintu masuk darat di Johor Bahru.